Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Syarikat swasta yang menawarkan sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 kepada rakyat Pulau Pinang diminta memberi penjelasan selepas tawaran itu dikatakan hanya satu penipuan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, syarikat berkenaan bersama pengarah yang dinamakan perlu tampil memberi penjelasan berhubung perkara itu dengan mengemukakan bukti berkaitan demi membersihkan nama serta imej mereka.

Menurutnya, perkara berkenaan penting selepas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar membuat dakwaan serius bahawa syarikat itu adalah syarikat yang 'bogus' dan tawaran yang diberikan adalah satu 'scam'.

"Kerajaan negeri melakukan tanggungjawab dengan sebaiknya dalam isu ini kerana tawaran vaksin ini akan dapat diberikan kepada rakyat Pulau Pinang demi menjaga keselamatan mereka.

"Tambahan pula, kerajaan negeri mengambil tindakan berhemah apabila menerima tawaran itu melalui surat bertarikh 1 Februari lalu dengan memohon pandangan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) " katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, JKNPP kemudian meminta supaya perkara berkenaan dikemukakan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pandangan serta nasihat lanjut.

"Berikutan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Razak Jaafar menghantar surat kepada Ketua Setiausaha KKM di Putrajaya pada 15 Februari lalu untuk memohon pandangan berhubung perkara itu.

"Pada 12 Mac lalu, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Mohd Shafiq Abdullah memberi jawapan tidak perlu menimbangkan sumbangan vaksin terbabit kerana Kerajaan Persekutuan sudah merangka dan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan langsung tidak menyentuh mengenai isu status syarikat berkenaan.

"Disebabkan itu, kerajaan negeri tidak berupaya menyusuli perkara ini kerana tidak dapat mengemukakan surat perakuan KKM kepada syarikat berkenaan untuk membolehkan mereka meneruskan rundingan dengan pihak pengeluar vaksin," katanya.

Terdahulu, Khairy Jamaluddin dalam satu sidang media mengesahkan derma dua juta dos vaksin Covid-19 oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah tawaran palsu.

Berdasarkan siasatan dan carian yang dilakukan pihaknya, Khairy dilaporkan berkata, mereka mendapati syarikat berkenaan iaitu Xintai Development Enterprise LTD tidak wujud.

Semalam, Chow dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan KKM yang tidak meluluskan Pulau Pinang menerima sumbangan vaksin sedangkan Sarawak dan Selangor boleh membeli vaksin Covid-19 sendiri.

Berita berkaitan:

  • Kerajaan Pulau Pinang ditipu, syarikat tawar vaksin Sinovac tak wujud [METROTV]
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 9:01 PM