GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga) mengesahkan tidak berhubung dengan individu dipercayai usahawan dikenali Yong Chee Kong dalam sebarang urusan membabitkan jual beli bekalan vaksin.

Pengarah Urusan Pharmaniaga Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada syarikatnya dihubungi individu terbabit atau sebaliknya.

"Dia tidak pernah hubungi Pharmaniaga," katanya ringkas pada sidang media secara maya, hari ini.

Sidang media itu diadakan selepas Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selesai mengadakan lawatan kerja ke kilang berteknologi tinggi Pharmaniaga, di sini, hari ini.

Lawatan itu bertujuan mengetahui perkembangan terkini dan proses pengilangan, isian dan sempurnakan (fill & finish) vaksin Covid-19 Sinovac.

Terdahulu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan berkata, kerajaan negeri ditawarkan dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma, tetapi Putrajaya tidak membenarkan mereka menggunakan vaksin itu.

Bagaimanapun, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin pula dipetik berkata, tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada kerajaan Pulau Pinang adalah tidak sahih dan palsu.

Khairy berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati syarikat yang membuat tawaran sumbangan itu Xintai Development Enterprise Ltd yang dikatakan berpangkalan di Hong Kong, tidak wujud.

Beliau mendedahkan pihaknya juga pernah menerima surat tawaran oleh individu sama dikenali Yong Chee Kong beralamat di Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Februari lalu yang membuat tawaran sumbangan vaksin dengan jumlah yang sama kepada kerajaan Sabah.

Katanya, malah wanita yang dinamakan sebagai Pegawai Jualan Antarabangsa dikenali Miss Coco Chang dalam surat itu juga mengesahkan beliau tidak menguruskan urusan Sinovac Biotech Ltd bagi pasaran Asia dan menafikan pernah dihubungi bagi tujuan sumbangan dimaksudkan.

Chow bagaimanapun sudah memohon maaf kepada semua pihak berikutan tercetusnya kontroversi itu dan memaklumkan matlamat utama kerajaan negeri adalah mendapatkan bekalan vaksin Covid-19 dalam kadar segera memandangkan peningkatan kes yang mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 6:02 PM