VAKSIN AstraZeneca (AZ) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO arkib NSTP
VAKSIN AstraZeneca (AZ) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). FOTO arkib NSTP
Rafidah Mat Ruzki dan Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Kerajaan negeri perlu memastikan sebarang sumbangan untuk vaksin Covid-19 oleh mana-mana individu perlulah datang daripada sumber atau pembekal yang sudah mendapat kelulusan daripada Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata, Kerajaan Persekutuan tidak ada halangan untuk mana-mana kerajaan negeri menerima sumbangan vaksin, asalkan ia diperoleh daripada sumber yang mendapat kelulusan.

Beliau berkata, sumbangan melalui Kerajaan Persekutuan juga adalah antara pilihan, manakala pihak yang mahu menyumbang boleh membuat sumbangan terus kepada kerajaan negeri.

"Sebagai contoh, kerajaan negeri mahu menerima sumbangan dan bila diperiksa sumber atau pembekal mengetahui mengenainya, tidak ada halangan untuk kerajaan negeri menerimanya.

"Sumbangan kepada Kerajaan Persekutuan adalah pilihan jika mahu," katanya pada sidang media Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba.

Khairy berkata, ketika ini hanya tiga keluaran vaksin yang menerima kelulusan bersyarat di negara ini oleh NPRA iaitu Pfizr-BioNTeh, AstraZeneca dan Sinovac.

Beliau berkata, pada pengetahuannya pengeluar Pfizer-BioNTech dan Astraeneca hanya membekalkan kepada kerajaan di seluruh dunia, manakala Sinovac, termasuk Pharmaniaga LifeSciences Sdn Bhd, yang kini membotolkan vaksin keluaran syarikat dari China itu, perlu memenuhi kesemua pembelian dibuat Kerajaan Persekutuan terlebih dahulu baru ia boleh membekalkan kepada pihak lain.

Khairy berkata, ia berikutan keperluan dan keutamaan adalah untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang memberikan vaksin secara percuma kepada penduduk di negara ini.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan Pulau Pinang meminta Kementerian Kesihatan (KKM) memberi kelulusan untuk negeri itu menerima sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 selepas permohonan pertama mereka ditolak.

Bagaimanapun, Khairy kemudian mengesahkan tawaran derma dua juta dos vaksin Covid-19 oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong kepada Pulau Pinang adalah tawaran palsu dan syarikat berkenaan tidak wujud.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 6:59 PM