Mahani Ishak dan Irwan Shafrizan Ismail

Kuala Lumpur: Tawaran sumbangan dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma kepada kerajaan Pulau Pinang adalah tidak sahih dan palsu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata, pemeriksaan pihaknya mendapati syarikat yang membuat tawaran sumbangan itu Xintai Development Enterprise Ltd yang dikatakan berpangkalan di Hong Kong, tidak wujud.

Beliau mendedahkan pihaknya juga pernah menerima surat tawaran oleh individu sama dikenali Yong Chee Kong beralamat di Kota Kinabalu, Sabah pada 9 Februari lalu yang membuat tawaran sumbangan vaksin dengan jumlah yang sama kepada kerajaan Sabah.

Katanya, malah wanita yang dinamakan sebagai Pegawai Jualan Antarabangsa dikenali Miss Coco Chang dalam surat itu juga mengesahkan beliau tidak menguruskan urusan Sinovac Biotech Ltd bagi pasaran Asia dan menafikan pernah dihubungi bagi tujuan sumbangan dimaksudkan.

"Kakitangan saya sudah maklumkan bahawa bila kita terima surat ini, kakitangan sudah merujuk kepada pihak Sinovac di China dan pada waktu itu pun kita dapati bahawa tawaran ini adalah tidak betul.

"Apa yang ditunjuk Ketua Menteri Pulau Pinang semalam kononnya ada sumbangan tawaran dua juta dos adalah satu perkara yang palsu, scam dan tidak benar sama sekali.

"Kita buat pemeriksaan dengan Sinovac, tidak ada apa-apa urusan, periksa dengan rekod syarikat di Hong Kong, syarikat ini tidak wujud malah tiada siapa pun yang kenal individu bernama Yong Chee Kong beralamat di Kota Kinabalu seperti dalam surat itu.

"Jadi macam mana kerajaan Pulau Pinang boleh menggunakan scam ini untuk menuduh kerajaan Persekutuan menghalang derma dua juta dos vaksin untuk Pulau Pinang," katanya pada sidang media secara maya berhubung Sumbangan Bekalan Vaksin kepada Pulau Pinang di sini, hari ini.

KHAIRY Jamaluddin. FOTO Bernama
KHAIRY Jamaluddin. FOTO Bernama

Semalam Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow memaklumkan kerajaan negeri itu ditawarkan dua juta dos vaksin Sinovac secara percuma, tetapi Putrajaya tidak membenarkan mereka menggunakan vaksin itu.

Kon Yeow berkata, pihaknya menulis surat kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, Februari lalu, ketika tawaran vaksin itu pertama kali dibuat, tetapi KKM menolaknya.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, pihaknya akan meminta Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk membuat laporan polis bagi siasatan lanjut berhubung surat tawaran dan individu yang berkaitan.

Selain itu beliau mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyumbang bekalan vaksin kepada Malaysia atau kerajaan negeri namun, ia perlu mengikut saluran yang ditetapkan.

"Vaksin adalah barang yang dikawal dan ia bukan macam beli t-shirt di Shoppe tapi perlu kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

"Bagi saya, selepas pemerhatian dan semakan lanjut, kami ingin mengesahkan bahawa sumbangan dua juta dos itu adalah tidak sahih dan palsu," katanya.

Selain itu katanya, beliau sudah menghubungi Kon Yew dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bagi memaklumkan perkara itu dan mengingatkan mereka supaya tidak cuba mempolitikkan PICK yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Beliau berkata, jika mereka (Kon Yew dan Guan Eng) dapat membuktikan tawaran sumbangan itu sahih, beliau akan memberi kebenaran serta-merta untuk membawa masuk vaksin berkenaan.

Dalam pada itu, Khairy berkata, selama ini, beliau sudah memberikan kerjasama secara terbuka dan terbaik kepada semua kerajaan negeri termasuk Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Sarawak bagi melancarkan PICK ini.

Bagaimanapun, Khairy menjelaskan bahawa tempahan vaksin bagi Kerajaan Persekutuan mesti didahulukan dan sebarang bekalan vaksin yang ditempah kerajaan negeri akan tiba selepas bekalan Kerajaan Persekutuan dipenuhi.

"Saya yakin bahawa kita ada cukup bekalan vaksin dan kita jangka dapat selesaikan pelaksanaan PICK ini sebelum atau pada akhir tahun ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Mei 2021 @ 4:28 PM