GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Polis merakam percakapan beberapa saksi daripada syarikat yang didakwa menawarkan sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 kepada kerajaan Pulau Pinang bagi melengkapkan kertas siasatan berhubung isu berkenaan.

Ketua Polis negeri, Datuk Sahabudin Abdul Manan berkata, polis juga akan merakam percakapan saksi daripada Pejabat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurutnya, sehingga kini polis menerima enam laporan yang dibuat oleh beberapa individu yang mewakili beberapa parti politik termasuk daripada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang meminta siasatan dijalankan.

"Buat masa ini, siasatan masih di peringkat awal, polis akan merakam percakapan saksi-saksi daripada pihak syarikat yang berkaitan, PICK dan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Polis juga akan menghubungi syarikat yang berkaitan untuk mengesahkan status pendaftaran syarikat berkenaan serta peranan penulis surat terbabit.

"Selepas semua tindakan selesai diambil, polis akan menyerahkan kertas siasatan ke pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk nasihat dan pandangan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) kini sedang menyiasat semua laporan yang diterima mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.

"Siasatan awal mendapati bahawa penulis surat yang menawarkan dua juta dos vaksin bukanlah Pengarah Urusan Xintai Development Enterprise Ltd seperti yang dinyatakan di dalam surat berkenaan.

"Penulis surat itu hanyalah wakil kepada syarikat Xintai Development Enterprise Ltd yang dilantik secara lisan saja dan dia mengesahkan bahawa tandatangan pada surat yang dihantar ke Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang adalah miliknya," katanya.

Selasa lalu, kerajaan negeri sekali lagi meminta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi kelulusan menerima sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 daripada sebuah syarikat swasta selepas permohonan pertama mereka ditolak.

Bagaimanapun, Khairy Jamaluddin keesokannya mengesahkan sumbangan dua juta dos vaksin Covid-19 oleh syarikat berpangkalan di Hong Kong kepada kerajaan Pulau Pinang adalah tawaran palsu dan satu penipuan.

Berdasarkan siasatan dan carian yang dilakukan pihaknya, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata mereka mendapati syarikat swasta berkenaan tidak wujud.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Mei 2021 @ 10:44 AM