Abdallah ketika ditemu bual pemberita mengenai perkembangan terkini pencerobohan serta serangan ganas tentera rejim Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza  di Kampung Pantai Cahaya Bulan hari ini. FOTO BERNAMA
Abdallah ketika ditemu bual pemberita mengenai perkembangan terkini pencerobohan serta serangan ganas tentera rejim Israel terhadap Masjid al-Aqsa dan Semenanjung Gaza di Kampung Pantai Cahaya Bulan hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Bharu: Biarpun berada beribu batu jauh dari tempat asalnya di Gaza, Palestin, Abdallah Ismail tetap meneruskan perjuangan serta jihadnya melawan rejim Zionis 'bersenjatakan' media sosial.

Lelaki berusia 35 tahun yang menetapkan di Kampung Pantai Cahaya Bulan (PCB), di sini, sejak 2014 selepas mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan, berkata adalah menjadi tugasnya 'berperang' dengan menyampaikan maklumat sebenar serta situasi semasa di bumi Palestin.

Kelibat Abdallah mula tular dalam Facebook sejak Sabtu lalu, apabila beliau bersiaran langsung menceritakan perkembangan mengenai Gaza dalam loghat Kelantan.

Videonya dikongsi lebih 21,000 serta ditonton lebih 134,000 pengguna akaun media sosial, setakat 1.30 tengah hari tadi.

"Ini menjadi tanggungjawab saya untuk menyebarkan berita sahih. Memang ramai yang sokong (Palestin) tetapi masalahnya bukan semua orang tahu keadaan sebenarnya," katanya ketika ditemui pemberita, di sini, hari ini.

Abdallah yang juga fasih bertutur dalam Bahasa Malaysia, berkata media sosial menjadi platform kepadanya untuk berkongsi pengetahuan mengenai fakta, sejarah serta berita terkini terutamanya apa yang berlaku di Masjid Al-Aqsa dan kawasan kejiranan Syeikh Jarrah kepada orang ramai.

"Tambahan pula, sejak kebelakangan ini, saya merasakan ada banyak berita palsu malah ada segelintir pihak cuba membuat fitnah terhadap Palestin.

"Oleh itu memerangi berita palsu ini amat penting. Sumber maklumat saya adalah media Arab, media tempatan di sana, berita radio Gaza dan juga media antarabangsa," katanya yang mengusahakan perniagaan makanan bersama isterinya.

"Saya akan pasti fakta dan yakin 100 peratus sebelum berkongsi maklumat dengan warga media sosial. Malah, saya juga berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan di Gaza untuk mendapatkan perkembangan situasi dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau turut menegaskan apa yang dilakukan itu bukan berniat untuk mengutip derma, tetapi hanya untuk menceritakan perkembangan semasa di bumi Gaza supaya lebih ramai orang memahami dan mengetahui perkara sebenar perjuangan rakyat Palestin dan kekejaman rejim Zionis.

Abdallah menjelaskan selain sumbangan kewangan, pakaian dan makanan daripada orang ramai, apa yang paling diperlukan penduduk Gaza ketika ini adalah doa daripada seluruh saudara Islam.

"Sebagai umat Islam, kita percaya dan yakin bahawa doa orang ramai paling bermanfaat," katanya sambil memberitahu bahawa bekalan ubat dan fasiliti hospital di Gaza juga tidak mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 8:54 PM