GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR fail, sekadar hiasan. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) yang dilaporkan bakal dibuka di Jitra tidak dapat beroperasi selepas mengalami kekangan peralatan, kakitangan dan sukarelawan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, setakat ini hanya PKRC Asrama Jururawat Kuala Nerang dibuka bagi menampung pesakit Covid-19 berisiko rendah di negeri ini.

"Buat masa sekarang PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Sungai Petani dan ILKKM Kulim masih mempunyai kekosongan 42 peratus.

"Namun, kita perlu berjaga-jaga berikutan kes Covid-19 di negeri ini semakin meningkat dan semalam mencapai paras tertinggi iaitu 363 kes dilaporkan semalam," katanya ketika dihubungi di sini,hari ini.

Jumaat lalu, media melaporkan sebuah Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) bakal dibuka di Jitra berikutan dua PKRC sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 di negeri ini.

Dr Mohd Hayati berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah sudah mengenal pasti sebuah dewan di Jitra yang sesuai dijadikan PKRC, namun ditangguhkan seketika berikutan terdapat masalah teknikal.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Hayati berkata, peningkatan kes Covid-19 berlaku di Kedah apabila ramai anak perantauan pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga, walaupun sudah dinasihat tidak berbuat demikian.

Katanya, biarpun mereka yang merentas negeri ini mendapat surat kebenaran polis, namun mereka tidak semestinya bebas daripada jangkitan Covid-19.

"Kerajaan terpaksa melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Bandar Darul Aman dan Lubuk Kawah, Jitra bermula esok hingga 31 Mei berikutan penularan wabak ini berlaku begitu cepat.

"Di Lubuk Kawah contohnya ada individu yang balik kampung positif Covid-19, dia kemudian pergi menunaikan solat di masjid dan menjangkiti jemaah masjid yang lain, sebab itulah kita hadkan jemaah kepada 50 orang sahaja sekiranya kapasiti masjid 1,000 orang.

"Jika tidak kita terpaksa keluarkan kos yang tinggi untuk menjalani ujian saringan Covid-19 serta merawat lebih ramai pesakit, bukan kita hendak menghalang orang ramai berjemaah di masjid tapi kita nak elak lebih ramai dijangkiti," katanya.

Dr Mohd Hayati turut memaklumkan bahawa terdapat juga penularan berlaku akibat gelembung pelancongan apabila terdapat penduduk di Alor Setar melakukan rombongan ke Genting Highland dengan menaiki bas.

Katanya, kes penularan Covid-19 dijangka akan lebih meningkat jika berlaku kunjung mengunjung ketika Aidilfitri minggu lalu.

Ketika ditanya adakah daerah Kota Setar turut akan dikenakan PKPD, Dr Mohd Hayati berkata, perkara itu tidak mustahil dilaksanakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sekiranya kes di daerah itu terus meningkat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 5:10 PM