HOSPITAL Sultanah Bahiyah. FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Sultanah Bahiyah. FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Jumlah penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, mencapai tahap kritikal apabila sebanyak 92 peratus atau 134 daripada 145 katil sedang digunakan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, sebanyak 16 daripada 24 katil pula sedang digunakan untuk merawat pesakit serius di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital terbabit dengan kapasiti mencapai 67 peratus.

Menurutnya, data berkenaan adalah pada Isnin lalu.

"Sebanyak 68 peratus iaitu 34 daripada 50 katil digunakan untuk pesakit Covid-19, manakala empat katil yang disediakan di ICU Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani tidak digunakan.

"Di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi pula tidak mencatatkan sebarang penggunaan daripada 20 katil disediakan serta satu katil di ICU. Jumlah keseluruhan katil yang digunakan di tiga hospital itu adalah 184 daripada 215 katil yang disediakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Dr Mohd Hayati berkata, selain itu sebanyak 89 peratus atau 177 daripada 200 katil untuk merawat pesakit Covid-19 bergejala ringan dan tidak bergejala digunakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Petani.

Katanya, di ILKKM Kulim pula mencatatkan penggunaan katil sebanyak 55 peratus atau 165 daripada 300 katil yang disediakan dan menjadikan jumlah keseluruhan katil yang digunakan di PKRC terbabit adalah 342 daripada 500 katil.

"Itulah betapa ramainya kes-kes positif Covid-19 termasuk yang dirawat di ICU. Kita harap rakyat berhati-hati dan berjaga-jaga. Ikutlah segala prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Semalam, media melaporkan Pekan kecil Relau di Bandar Baharu lumpuh selepas lebih 100 penduduknya positif Covid-19 .

Wabak berkenaan tercetus di kawasan terbabit selepas seorang penduduk wanita yang positif Covid-19 menghadiri majlis keagamaan di situ.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Mei 2021 @ 5:10 PM