HOSPITAL Sultanah Bahiyah (HSB). FOTO Arkib NSTP
HOSPITAL Sultanah Bahiyah (HSB). FOTO Arkib NSTP
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Sebuah lagi Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) bakal dibuka di Jitra berikutan dua PKRC sedia ada tidak mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sudah mengenal pasti sebuah dewan di Jitra yang sesuai dijadikan PKRC, namun ditangguhkan seketika berikutan terdapat masalah teknikal.

"Kita memang hendak buka, tapi ada sedikit masalah teknikal, ini kerana kes semakin banyak, PKRC lain sudah mahu penuh.

"Ada kes dari Jitra dan Alor Setar, kita terpaksa hantar ke PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM), Kulim. Jarak juga sangat jauh dan PKRC Kulim juga sudah hampir penuh," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Pada Rabu minggu lalu, media melaporkan Dr Mohd Hayati berkata, sebanyak 89 peratus atau 177 daripada 200 katil di PKRC ILKKM Sungai Petani digunakan untuk merawat pesakit Covid-19.

Manakala, di ILKKM Kulim pula mencatatkan penggunaan katil sebanyak 55 peratus atau 165 daripada 300 katil.

Dr Mohd Hayati berkata, penggunaan katil di HSB dan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani juga semakin kritikal apabila pesakit Covid-19 semakin meningkat setiap hari.

Katanya, ia termasuk kes di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang turut kritikal dengan kes kematian turut meningkat.

"Jika jumlah katil di HSB penuh, kita terpaksa hantar pesakit ke HSAH, kes-kes daerah Baling dan Kulim pun dihantar ke HSAH, yang saya boleh katakan sekarang kedua-dua hospital ini sudah kritikal.

"Kes Covid-19 di Kota Setar juga naik mendadak, banyak kluster wujud, hari ini saya difahamkan ada 200 orang di Pendang yang akan menjalani ujian saringan Covid-19 di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Pendang disebabkan menjadi kontak rapat dengan pesakit Covid-19," katanya.

Menurutnya, pihaknya menasihatkan orang ramai tidak kunjung-mengunjungi pada Hari Raya Aidilfitri serta bersalam-salaman kerana bimbang wujud lebih banyak kluster.

"Duduk rumah saja, orang sekarang faham jika kita tutup pintu dan enggan terima tetamu. Kita tak mahu kes Covid-19 jadi tidak terkawal.

"Yang mana pakai gelang merah jambu dan diarah menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), maka duduklah di rumah, jangan keluar sana sini atau balik kampung," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 4:29 PM