Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Bersepadu dibuka di Stadium Negeri Kuala Terengganu bermula esok bagi menempatkan pesakit lelaki positif Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu Dr Alias Razak berkata, ia menjadi PKRC Bersepadu pertama di Terengganu yang dikhaskan untuk pesakit daripada kategori satu hingga empat.

Menurutnya, pembukaan PKRC itu juga dibuat sebagai langkah proaktif susulan peningkatan kes positif Covid-19 selain persediaan PKRC di pusat pengajian ditutup.

"Ini antara persiapan (berikutan) pertambahan kes yang sejak akhir-akhir ini jarang berada di bawah 500 (kes) sehari namun sebahagian besar kes berada pada kategori satu dan dua sahaja.

"(Pembukaan) ini lebih kepada persiapan kita untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk jika institut pengajian tinggi (IPT) seperti UiTM Chendering dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang dijadikan PKRC dibuka (sesi pengajian) sudah tentu kita kena serah balik pada pihak berkenaan, jadi (ini) antara alternatif awal.

"Pusat kuarantin ini mampu menampung seramai 390 pesakit pada satu-satu masa selain turut dilengkapi dengan bekalan oksigen.

"Bagaimanapun, ketika ini, kita hanya menyediakan sebanyak 326 katil dan jumlahnya akan ditambah mengikut keadaan semasa," katanya ketika majlis penyerahan Stadium Negeri Kuala Terengganu sebagai PKRC di sini, hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Ahmad Shah Muhamed, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Rozali Salleh.

Dr Alias Razak (dua dari kanan) memeriksa keadaan katil yang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19  (PKRC) di Stadium Negeri. FOTO GHAZALI KORI
Dr Alias Razak (dua dari kanan) memeriksa keadaan katil yang dijadikan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Stadium Negeri. FOTO GHAZALI KORI

Dr Alias berkata, buat permulaan seramai 40 pesakit dari PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Kuala Terengganu akan dipindahkan ke PKRC Bersepadu ini bermula esok dan 35 petugas ditempatkan bagi melancarkan urusan di PKRC berkenaan.

Katanya, jumlah petugas akan ditambah mengikut keperluan dan kedudukan pusat kuarantin berkenaan yang terletak berhampiran Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bukan sahaja dapat memudahkan urusan tetapi mampu memuatkan lebih ramai pesakit.

"PKRC ini adalah pusat kuarantin ketujuh di Terengganu yang boleh menempatkan pesakit dari seluruh Terengganu termasuk pesakit kategori empat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 8:06 PM