FOTO hiasan
FOTO hiasan
Noorazura Abdul Rahman

Alor Setar: Kedah masih lagi mampu menampung kapasiti katil untuk pesakit CovidD-19 pada masa ini di tiga buah hospital di negeri itu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sehingga kini terdapat 291 katil bagi merawat pesakit Covid-19 di Hospital Alor Setar, Hospital Kuala Nerang dan Hospital Sultanah Maliha, Langkawi.

"Ia masih boleh ditambah dan kita juga ada buka Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) yang mana akan ditambah lagi jika ada keperluan.

"Buat masa ini, terdapat tiga PKRC di Kedah iaitu PKRC Asrama Jururawat Kuala Nerang (72 katil), PKRC Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Petani (200 katil) dan PKRC Penjara Pokok Sena (100 katil)," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Mohd Fikri berkata, pihaknya merancang untuk membuka PKRC di ILKKM Kulim yang mampu menampung 300 katil.

Selain itu, katanya, JKN turut menghantar petugas kesihatan dari Kedah ke zon merah dan mereka akan dipanggil balik sekiranya kes di Kedah terus meningkat.

"Diharap penduduk Kedah dapat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan KKM serta mengamalkan norma baharu.

"Beri teguran dan peringatan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan untuk patuhi SOP bagi memastikan kes Covid-19 di Kedah tidak terus meningkat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2021 @ 4:07 PM