Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13, di sini, bukan pusat penahanan dan rawatan ke atas pesakit Covid-19 seperti yang digembar-gemburkan oleh segelintir pihak.

Sebaliknya, lokasi terbabit hanyalah pusat penilaian bagi pesakit Covid-19 sebelum dihantar ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di Serdang.

Sejak beberapa hari lalu, tular video kononnya ratusan individu beratur serta suasana di dalam CAC terbabit tular di media sosial.

Namun, apa yang mengecewakan video terbabit disertai dengan pelbagai kapsyen oleh pihak tidak bertanggungjawab yang sengaja mengeruhkan keadaan dan menakutkan orang awam.

Pengurus Darul Ehsan Facilities Management Sdn Bhd (DEFM) yang juga koordinator bagi kemudahan fasiliti diperlukan oleh CAC, Ahmad Sayuti Bashiron mengakui video terbabit adalah situasi di CAC berkenaan, namun CAC itu hanyalah tempat penilaian Covid-19.

"Ya, betul. Video itu suasana semasa di tempat ini sejak pertengahan April lalu, jumlah yang datang meningkat berbanding sebelumnya.

"Sebenarnya ia adalah proses biasa yang dilakukan oleh CAC Malawati sebagai pusat saringan Covid-19 paling besar di Malaysia, esok juga keadaan sama (seperti dalam video), namun tiada pesakit ditempatkan di sini.

"Semua pesakit positif Covid-19 yang hadir akan terus dihantar ke hospital ataupun MAEPS dan juga sebahagian dibenarkan melakukan kuarantin di rumah dengan kawalan PKD" katanya ketika ditemui di stadium terbabit, di sini, hari ini.

Tinjauan Harian Metro kira-kira 2 petang hari ini, mendapati CAC tidak beroperasi dan akan kembali beroperasi seperti biasa esok.

TINJAUAN NSTP di luar perkarangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13 hari ini.FOTO Ruwaida Md Zain
TINJAUAN NSTP di luar perkarangan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati, Seksyen 13 hari ini.FOTO Ruwaida Md Zain

Tinjauan juga mendapati ada lebih 100 kenderaan dipercayai milik pesakit Covid 19 di tempat letak kenderaan sekitar stadium berkenaan.

Menurut Ahmad Sayuti, pihaknya mendapati hampir 300 kenderaan pesakit Covid-19 yang dibawa ke hospital atau MEAPS berada di situ sejak beberapa minggu lalu.

DEFM adalah anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor yang dipertanggungjawab menguruskan keseluruhan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA), termasuk Stadium Shah Alam dan Stadium Malawati.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib, mengesahkan video terbabit, namun meminta pihak media menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk maklumat lanjut.

Bagaimanapun, setakat ini, JKNS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara terbabit.

Pada 8 Februari lalu, CAC Malawati secara rasmi menggantikan CAC PKD Petaling di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) SS15 dan dianggarkan boleh memuatkan antara seramai 1,000 hingga 1,500 pesakit.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Mei 2021 @ 8:50 PM