DHIYA Kamalia (kanan) bersama rakannya yang menjadi sukarelawan di CAC Stadium Malawati, Shah Alam. FOTO DHIYA KAMALIA KAMAL AFFENDI
DHIYA Kamalia (kanan) bersama rakannya yang menjadi sukarelawan di CAC Stadium Malawati, Shah Alam. FOTO DHIYA KAMALIA KAMAL AFFENDI
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Mendengar luahan dan melihat kesedihan ditanggung individu positif Covid-19 membuatkan gadis berusia 23 tahun ini nekad untuk terus membantu petugas barisan hadapan menangani wabak Covid-19.

Sukarelawan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Dhiya Kamalia Kamal Affendi berkata, sokongan moral diberikan ibu bapanya turut menjadi penguat semangat untuk terus mencurah tenaga.

Menurutnya, dia mula aktif sebagai sukarelawan Covid-19 sejak penghujung tahun lalu dan terkini ditugaskan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati, Shah Alam.

Pada masa sama, penuntut tahun empat jurusan perubatan di Kursk State Medical University, Russia itu masih mengikuti kelas secara dalam talian apabila tidak dapat pulang ke negara itu disebabkan pandemik.

"Saya menyertai IMAM semasa di Russia lagi dan kerap mengikuti pelbagai program kesukarelawan yang dilaksanakan di sana.

"Di Malaysia, saya lihat ramai senior terbabit sebagai sukarelawan Covid-19 di bawah program SELangkah dan saya bersama beberapa rakan terpanggil untuk ikut serta.

"Saya menjalankan penilaian awal kepada individu positif Covid-19 yang datang ke CAC sebelum mereka dihantar ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

"Saya turut memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sepanjang masa. Walaupun memenatkan, sesak nafas dan menuntut kesabaran tinggi, kami terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat bagi mengelak dijangkiti," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

DHIYA Kamalia bersama sukarelawan di CAC Stadium Malawati, Shah Alam. FOTO DHIYA KAMALIA KAMAL AFFENDI
DHIYA Kamalia bersama sukarelawan di CAC Stadium Malawati, Shah Alam. FOTO DHIYA KAMALIA KAMAL AFFENDI

Selain itu, anak sulung daripada dua beradik itu berkata, dia cuba membahagikan masa sebaiknya antara tugas sebagai sukarelawan dan pelajarannya.

Menurutnya, dia mula bertugas di CAC pada 9 pagi hingga 2 petang sementara kelas dalam talian bermula 4 petang.

"Adakalanya saya terpaksa mengikuti kelas online dalam kereta kerana tidak sempat pulang. Pada waktu malam pula saya akan ulangkaji pelajaran," katanya.

Ditanya mengenai tular suasana sesak di CAC Stadium Malawati, Dhiya mengakui sedih melihat ramai masyarakat di negara ini yang dijangkiti Covid-19.

"Ada satu keluarga dikesan positif, bila ditanya wanita itu menangis dan memberitahu suami sudah meninggal dunia akibat Covid-19.

"Ada keluarga yang minta kuarantin di rumah kerana meninggalkan seorang anak istimewa yang negatif di rumah.

"Kebanyakan yang dikesan positif datang dengan rasa resah dan sedih. Melihatkan keadaan mereka itulah menguatkan lagi semangat saya untuk membantu meringankan beban petugas kesihatan," katanya.

Dhiya berharap masyarakat dapat bangun daripada imaginasi bahawa Covid-19 hanya sementara sedangkan kes meningkat saban hari dan sentiasa patuh kepada SOP demi kesihatan diri serta keluarga.

"Pada mulanya, memang timbul perasaan risau apabila menjadi sukarelawan menangani Covid-19 ini, tetapi apabila dibuat setiap hari dan mengikut prosedur ketat, saya yakin insya-Allah, tiada apa-apa.

"Sebagai langkah keselamatan, apabila balik ke rumah pun, saya akan kuarantin dahulu dalam bilik dan membersihkan diri sepenuhnya, apabila rasa selamat barulah ke luar bilik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Mei 2021 @ 4:50 PM