Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) menjangkakan lebih 1,300 pesakit Covid-19 yang sudah membuat temujanji janji hadir ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling di Stadium Malawati, Seksyen 13, di sini, hari ini.

Pengarah JKNS Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, semakan yang dibuat pihaknya semalam mendapati setakat ini seramai 1,020 pesakit disahkan positif Covid-19 dalam Daerah Petaling sudah membuat temujanji untuk hari pertama.

"Apabila kita buat semakan temujanji dengan pesakit yang akan datang ke sini, 1,020 yang berdaftar untuk hadir di Stadium Malawati ini.

"Kalau kita lihat bancian harian di samping bilangan kes yang sudah ada temujanji, terdapat 200 hingga 300 pesakit datang secara 'walk in'...jadi saya jangkakan hari ini boleh mencecah 1,300 hingga 1,400 pesakit akan datang ke stadium ini.

"Pada masa sama juga, pesakit kuarantin di rumah boleh datang ke sini untuk kita tamatkan prosedur kuarantin di rumah di kawasan daerah Petaling ini," katanya pada sidang media selepas melawat lokasi terbabit hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri Dr Siti Mariah Mahmud.

Dr Sha'ari berkata, walaupun keutamaan CAC PKD Petaling adalah kepada pesakit dalam daerah Petaling namun pihaknya tetap memberi layanan sama kepada pesakit dari daerah lain.

"Jika ada pesakit dari daerah lain datang ke sini, mereka tetap dilayan seperti biasa (proses sama).

"Di sini bukan untuk warga asing tetapi sekiranya ada datang ke sini, kita terima ini tetapi keutamaan warga tempatan yang tinggal di dalam daerah Petaling," katanya.

Beliau berkata, semua pesakit yang datang diberikan laluan khas malah mereka tidak akan bercampur dengan laluan petugas dan orang awam lain.

"Apabila pesakit tiba di sini, mereka akan ada pendaftaran, semakan, saringan serta tempat menunggu untuk pesakit dipindahkan ke hospital ataupun Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS)," katanya.

Menurutnya, Stadium Malawati itu menjadi lokasi CAC terbesar di Malaysia malah turut mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.

 Dr Sha'ari Ngadiman meninjau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling di Stadium Malawati, Seksyen 13. FOTO RUWAIDA MD ZAIN
Dr Sha'ari Ngadiman meninjau Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Petaling di Stadium Malawati, Seksyen 13. FOTO RUWAIDA MD ZAIN

Dalam pada itu katanya, selain 80 petugas PKD Petaling, pihaknya mendapat kerjasama pelbagai agensi di daerah ini termasuk Pejabat Daerah Petaling, kerajaan negeri selain Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Semalam, media melaporkan stadium itu akan menggantikan CAC PKD Petaling di Dewan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) SS15 sebelum ini dan dianggarkan boleh memuatkan antara seramai 1,000 hingga 1,500 pesakit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Februari 2021 @ 1:52 PM