Datuk Seri Amirudin Shari
Datuk Seri Amirudin Shari
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa inisiatif baharu bagi menangani perebakan wabak Covid-19 serta melancarkan operasi di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) daerah.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah menyediakan 150 sukarelawan terdiri penjawat awam, penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), petugas perubatan SELCARE serta pelajar perubatan Universiti Swasta yang akan membantu kelancaran operasi di CAC daerah terutamanya di Stadium Malawati (CAC Petaling).

Katanya, pertambahan sukarelawan itu akan membantu pengurusan trafik, pengurusan pesakit Covid-19 serta penilaian pesakit.

"Kerajaan negeri turut bersetuju mewujudkan 'calling centre' yang akan dilaksanakan oleh sukarelawan perubatan bertujuan membantu mengurangkan beban di CAC bagi penilaian pesakit di rumah ataupun 'home assessment'.

"Statistik mendapati bahawa 48 peratus pengunjung yang hadir ke CAC Stadium Malawati adalah bagi urusan pemotongan gelang kuarantin ataupun penamatan 'home quarantine'.

"Justeru, mulai minggu hadapan, kaunter khas bagi tujuan pemotongan gelang ataupun penamatan kuarantin di rumah akan diwujudkan. Ini bagi mengurangkan kesesakan di CAC Stadium Malawati serta pada masa yang sama mengurangkan risiko jangkitan kepada mereka yang sudah tamat kuarantin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu Amirudin berkata, inisiatif seterusnya yang dicadangkan adalah makluman mengenai klinik dan fasiliti perubatan swasta (CAC Swasta) yang mempunyai pengamal perubatan yang diberi kebenaran untuk melaksanakan 'Home Surveillance Order' (HSO).

Beliau berkata, ia membolehkan pengamal perubatan memberi kebenaran pemakaian gelang kuarantin kepada mereka yang didapati positif serta kontak rapat dan dengan itu, pesakit Covid-19 tidak perlu hadir ke CAC daerah sekaligus mengurangkan beban terutamanya CAC Stadium Malawati.

Katanya, terdapat 65 Pengamal Perubatan (General Practitioner) yang diberi kebenaran untuk melaksanakan HSO di negeri ini.

"Saya juga sudah dimaklumkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengenai penambahan kelengkapan Unit Rawatan Intensif (ICU) dan jumlah katil bagi pesakit Covid-19 di Selangor.

"Sejumlah 300 katil dan wad ICU akan ditambah, manakala 1,300 katil akan ditambah di Maeps Serdang.

"Kemudahan seperti 20 unit khemah lengkap dengan kipas, kerusi dan sistem P.A (siar raya) turut ditambah baik di CAC Petaling sejak semalam untuk keselesaan orang ramai.

"Ketetapan baharu turut dibuat agar MAEPS Serdang hanya akan merawat pesakit dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja berikutan keputusan mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di beberapa negeri lain di wilayah tengah seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa mengenai situasi Covid-19 di Selangor dan akan terus melaksanakan langkah proaktif di bawah kapasiti yang ada bagi menangani perebakan wabak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Mei 2021 @ 8:12 PM