RAKAMAN CCTV menunjukkan anggota polis mengambil barangan tanpa membuat bayaran di sebuah kedai serbaneka di SS6, Kelana Jaya, Ahad lalu. FOTO ihsan polis
RAKAMAN CCTV menunjukkan anggota polis mengambil barangan tanpa membuat bayaran di sebuah kedai serbaneka di SS6, Kelana Jaya, Ahad lalu. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim


Petaling Jaya: Padah ambil barang tanpa bayar, dua anggota polis antara empat yang ditahan selepas disyaki terbabit kejadian curi di sebuah kedai serbaneka di SS6 Kelana Jaya di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, polis menerima laporan kejadian daripada pekerja premis berkenaan pada 7 pagi.

"Berdasarkan maklumat, seorang wanita memakai vest polis dan mengambil beberapa barang tanpa membuat sebarang pembayaran.

"Pekerja premis itu meminta wanita itu membuat bayaran tetapi suspek memberikan alasan bahawa pegawai atasannya akan datang untuk membuat pembayaran dalam tempoh satu jam.

"Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki kereta peronda polis jenis Honda Civic," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, berdasarkan pemeriksaan, suspek mengambil lima kotak rokok pelbagai jenama, pemetik api dan gula-gula dianggarkan berjumlah RM146.30.

Bertindak atas laporan, katanya, polis menjalankan siasatan menahan dua anggota berusia 31 serta 38 tahun, pada 5 petang hari sama.

"Hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua lagi suspek termasuk seorang wanita masing-masing berusia 36 dan 27 tahun di kawasan Petaling Jaya, pada 8.30 malam hari sama.

"Semakan mendapati suspek wanita mempunyai lapan rekod jenayah lampau termasuk dadah manakala suspek lelaki mempunyai 13 rekod lampau," katanya.

Katanya, keempat-empat suspek yang ditahan mengaku terbabit kejadian samun berkenaan.

Beliau berkata, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Mac 2021 @ 4:39 PM