MOHAMED Mokhsein membuat pemantauan di kawasan perumahan di Alam Damai, Cheras. FOTO Aizuddin Saad.
MOHAMED Mokhsein membuat pemantauan di kawasan perumahan di Alam Damai, Cheras. FOTO Aizuddin Saad.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Polis menafikan pihaknya 'double standard' berhubung pemantauan larangan kunjung-mengunjung membabitkan golongan elit pada sambutan Aidilfitri.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, terdapat beberapa pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) diarahkan untuk melakukan pemantauan di daerah ini termasuk memantau aktiviti kunjung-mengunjung sejak Khamis lalu.

"Pasukan berkenaan melakukan pemeriksaan dan rondaan di kawasan perumahan di sekitar daerah ini termasuk perumahan elit.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami mendapati tiada aktiviti kunjung-mengunjung di kawasan berkenaan.

"Malah, hasil pemantauan dilakukan pasukan pemantauan diketuai saya sendiri di kawasan perumahan elit di Alam Damai pada hari ini mendapati kawasan ini sunyi dengan penduduk berada di rumah bersama ahli keluarga masing-masing.

"Justeru, apa yang ditularkan di media sosial memaklumkan pihak polis hanya memeriksa kawasan perumahan golongan biasa sahaja adalah tidak benar kerana pemantauan dilakukan membabitkan semua pihak tanpa mengira darjat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pemantauan di sekitar kawasan perumahan elit di Alam Damai, di sini, hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, tiada kompaun dikeluarkan pihaknya membabitkan aktiviti kunjung-mengunjung di daerah berkenaan sejak Khamis lalu.

"Bagaimanapun, rondaan berkala akan diteruskan bagi memastikan orang ramai terus mematuhi SOP ditetapkan pihak berkuasa sepanjang sambutan Aidilfitri," katanya.

Mengulas mengenai jumlah kompaun yang dikeluarkan pihaknya sepanjang bulan Ramadan lalu, beliau berkata, sebanyak 583 kompaun dikeluarkan sepanjang tempoh berkenaan.

"Daripada jumlah itu, lebih 400 kompaun dikeluarkan membabitkan kesalahan tidak mendaftar masuk menggunakan aplikasi MySejahtera.

"Selain itu, kompaun yang dikeluarkan turut membabitkan kesalahan tidak memakai pelitup muka serta aktiviti kelab malam," katanya

Katanya, pihaknya turut mengeluarkan 13 kompaun di dua sekatan jalan raya (SJR) di daerah Cheras iaitu di Jalan Cheras dan Taman Shamelin bagi kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Mei 2021 @ 2:38 PM