Mohamed Mokhsein menjelaskan notis kompaun (kiri) yang tular itu adalah sah kerana kesalahan tidak mendaftar diri. FOTO NSTP.
Mohamed Mokhsein menjelaskan notis kompaun (kiri) yang tular itu adalah sah kerana kesalahan tidak mendaftar diri. FOTO NSTP.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis menafikan pihaknya mengeluarkan notis kompaun RM10,000 ke atas individu yang didakwa tidak melakukan kesalahan ketika berada di sebuah kedai makan di Bukit Jalil, semalam.

Sebaliknya, Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, lelaki berkenaan dikompaun kerana gagal mendaftar diri sama ada melalui aplikasi MySejahtera atau buku daftar yang disediakan pekedai.

Katanya, notis berkenaan dikeluarkan mengikut peruntukan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 ke atas individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19.

"Saya menegaskan perkara yang ditularkan, kononnya individu yang dikompaun itu sudah mendaftar diri melalui mana-mana saluran, aplikasi atau mendaftar diri di dalam buku daftar yang disediakan oleh pekedai adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan pematuhan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membuat pemeriksaan di premis perniagaan di Bukit Jalil mengesan kesalahan individu berkenaan pada jam 6.55 petang semalam.

Terdahulu, tular di media sosial gambar salinan kompaun RM10,000 yang dikeluarkan ke atas individu kerana kesalahan tidak mendaftar diri ketika berada di sebuah kedai makan.

Maklumat dalam tular itu mendakwa individu terbabit sudah mendaftar namun, tetap menerima notis kompaun.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 12:26 PM