FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Sebanyak 330 notis kompaun RM10,000 dikeluarkan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara setakat ini, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

"Ya, 330 individu untuk notis kompaun pesalah SOP PKP," katanya ringkas ketika dihubungi.

Semalam, Abdul Hamid berkata nilai kompaun kerana melanggar SOP PKP dinaikkan daripada RM1,000 kepada RM10,000 dan langkah itu berikutan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan mulai 11 Mac.

Abdul Hamid berkata keputusan menaikkan nilai kompaun itu bukanlah untuk menghukum orang ramai secara berlebihan atau membolehkan kerajaan mengutip wang daripada orang ramai sebaliknya untuk individu yang mengulangi kesalahan SOP PKP sama.

Antara kesalahan SOP PKP adalah seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal atau premis tidak menyediakan alat pengukur suhu.

Sementara itu, seorang individu dikenakan kompaun RM10,000 selepas melakukan kesalahan tidak mendaftarkan diri menggunakan aplikasi MySejahtera ketika berada di sebuah kedai makan di Bukit Jalil, semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, pemeriksaan mendapati individu terbabit juga tidak mendaftar diri dalam buku daftar disediakan pekedai sehingga tindakan kompaun dikenakan mengikut peruntukan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

"Kompaun itu dikeluarkan ketika pasukan pematuhan SOP PKP membuat pemeriksaan di lokasi berkenaan pada 6.55 petang.

"Ingin ditegaskan (dakwaan) kononnya individu dikompaun itu telah mendaftar diri melalui mana-mana saluran, aplikasi atau mendaftar diri di dalam buku daftar yang disediakan oleh pekedai adalah tidak benar," katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial seorang individu dikenakan kompaun susulan tidak mendaftar diri menerusi aplikasi MySejahtera dalam tempoh pelaksanaan PKP Bersyarat (PKPB).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Mac 2021 @ 4:59 PM