PARAMEDIK Palestin mencari mangsa di rumah milik keluarga al-Tanani yang runtuh akibat serangan udara Israel. FOTO AFP
PARAMEDIK Palestin mencari mangsa di rumah milik keluarga al-Tanani yang runtuh akibat serangan udara Israel. FOTO AFP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Serangan menggila oleh rejim zionis Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza sejak Isnin lalu menerusi pengeboman dari udara menyebabkan lebih 1,500 rumah musnah.

Aktivis dan penulis bebas di Gaza, Hamza Deirawi berkata, serangan udara yang mensasarkan kediaman penduduk Palestin itu adalah antara yang terburuk sejak rejim zionis menceroboh dan menjajah mereka bumi anbia itu pada 1948.

Beliau berkata, selain rumah penduduk, pesawat perang Israel juga berterusan mengebom menara telekomunikasi, hospital, kenderaan, sekolah, klinik, balai polis dan institusi pemerintah Palestin.

"Lebih 1,500 rumah musnah di Gaza hingga saat ini akibat serangan zionis. Lebih 110 orang awam terbunuh, kebanyakan wanita dan kanak-kanak serta mengakibatkan sekurang-kurangnya 550 mangsa cedera.

"Tindakan kejam, tidak berperikemanusian dan melampaui batas itu turut menyebabkan mangsa masih hidup yang kehilangan tempat tinggal itu bergelimpangan di serata jalan tanpa perlindungan serta berhadapan cuaca sejuk khususnya waktu malam," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Malah tanpa mempedulikan umat Islam seluruh dunia sedang meraikan Aidilfitri, katanya pesawat zionis meningkatkan lagi serangan udara.

Jumaat lalu, serangan rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin dan jemaah di Masjid Al-Aqsa turut menyebabkan kematian, kecederaan yang seterusnya mendapat bantahan seluruh dunia.

Pertempuran terbaru antara Palestin dan Israel yang bermula Isnin lalu berpunca daripada insiden di Masjid Al-Aqsa, susulan tindakan zionis mengusir penduduk Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Mei 2021 @ 1:14 PM