ORANG ramai mendapatkan daging dan ayam pada harga lebih murah berbanding pasaran pada program My Best Buy Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat DUN Klawang, Jelebu, hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
ORANG ramai mendapatkan daging dan ayam pada harga lebih murah berbanding pasaran pada program My Best Buy Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat DUN Klawang, Jelebu, hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Daging lembu ditawarkan lebih murah berbanding harga asal menjadi rebutan pengunjung pada program My Best Buy Aidilfitri di pekarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, hari ini.

Berikutan itu, sebanyak 300 kilogram (kg) daging daripada dua lembu yang disediakan habis dijual dalam tempoh dua jam.

Orang ramai mula beratur dari 7.30 pagi biarpun gerai jualan mula dibuka pada 8 pagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, harga rendah menyebabkan orang ramai tidak melepaskan peluang membeli daging lembu berkenaan.

Beliau berkata, daging batang pinang dijual pada harga RM34 sekilogram berbanding harga asal RM38 atau RM40 sekilogram.

"Selain itu orang ramai turut berpeluang membeli ayam dijual pada harga RM7.90 sekilogram, ayam telur RM9.50 dan ayam kampung RM20 seekor.

"Turut dijual pelbagai barangan kering serta aneka kuih raya menerusi gerai jualan membabitkan 11 usahawan sekitar Kuala Klawang," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 6:10 PM