ORANG ramai membeli minyak masak yang dijual ketika Jualan Sentuhan Rakyat, semalam.
ORANG ramai membeli minyak masak yang dijual ketika Jualan Sentuhan Rakyat, semalam.

Jempol: Empat tan minyak masak yang dijual pada harga RM1.25 sepaket habis dijual dalam tempoh tidak sampai sejam di Jualan Sentuhan Rakyat di sini, semalam.

Mengikut harga pasaran, sepaket minyak masak sama dijual pada harga RM2.50.

Harga murah berbanding harga pasaran itu menarik kehadiran 5,000 pengunjung ke jualan berkenaan yang dianjurkan bersama UMNO Bahagian Jelebu dan Pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui.

Selain minyak masak, turut dijual lebih murah berbanding harga pasaran adalah daging lembu, ayam, beras dan ikan bilis.

Di gerai menjual daging, orang ramai boleh mendapatkan daging yang dijual pada harga RM25 sekilogram termasuk tulang, hati dan limpa.

Abdul Kadir Samah, 50
dari Ayer Hitam, berkata, program jualan itu memberi manfaat kepadanya dalam membeli barang keperluan dengan harga lebih murah.

Katanya, beras biasa
dijual di pasaran berharga RM26 bagi pek 10 kilogram boleh didapati dengan
harga RM22 sekilogram, sekali gus dia dapat berjimat RM4.

“Saya percaya, jika jualan sentuhan rakyat ini kerap diadakan, ia memberi impak baik kepada penduduk, sekali gus memberi tekanan kepada pemborong dan peniaga sebelum menaikkan harga barang,” katanya.

Suri rumah, Napisah Mohamad, 59, pula berkata, dia hanya berbelanja RM100 bagi membeli barangan keperluan dapur pada program berkenaan.

Katanya, dia cuba membeli lebih minyak masak namun dibenarkan membeli dua paket sahaja.

“Ikan bilis saiz M dijual hanya RM14.90 sekilogram berbanding harga pasaran RM19. Jika jualan ini diadakan seminggu sekali, ia sangat membantu golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Ketua UMNO Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui, Mohd Razi Mohd Ali.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 6:01 AM