FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Ladang ayam berhampiran Felda Titi yang sebelum ini digantung daripada beroperasi masih belum dibenarkan berbuat demikian sehingga masalah gangguan lalat terhadap penduduk diselesaikan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) sebelum itu sudah menggantung lesen operasi ladang berkenaan pada 22 April selepas menerima aduan pada 18 April lalu.

Katanya pihak pengurusan ladang perlu menyelesaikan masalah gangguan lalat itu sebelum dibenarkan beroperasi semula.

"Sebelum ini kita hanya membenarkan mereka membawa keluar ayam yang sudah boleh dijual namun tidak membenarkan anak ayam baharu dibawa masuk ke ladang.

"Setakat ini JPVNS masih memantau keadaan ladang berkenaan sebelum ia dibenarkan beroperasi semula," katanya ketika ditemui pada Majlis Jamuan Aidilfitri di kediaman beliau di Kuala Klawang.

Hadir sama Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad dan Pegawai Daerah Jelebu, Abdul Rahim A Aziz.

Media sebelum ini melaporkan 10 rumah penduduk peringkat dua di Felda Titi diserang lalat sehingga mengganggu aktiviti harian selain menjejas persiapan hari raya.

Dalam perkembangan lain, Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang berkata faktor cuaca menyebabkan kekurangan durian turut berlaku di negeri ini sekaligus akan mempengaruhi harga di pasaran.

"Terpulang kepada orang ramai sama ada mahu membeli atau tidak sekiranya berlaku kenaikan harga durian seperti diramalkan sesetengah pihak.

"Namun apa yang diperhatikan khususnya di negeri, durian tidak begitu menjadi pada tahun ini disebabkan faktor cuaca sekaligus tidak menolak kemungkinan harga jualan akan meningkat kerana dipengaruhi permintaan yang tinggi namun kekurangan bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 11:24 AM