Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir (kiri) mengacau dodol sebagai gimik pelancaran program My Rakyat di perkarangan Pusat Khidmat DUN Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir (kiri) mengacau dodol sebagai gimik pelancaran program My Rakyat di perkarangan Pusat Khidmat DUN Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Tradisi mantai yang sebelum ini lesu susulan pandemik Covid-19 dijangka kembali meriah apabila kerajaan negeri akan memperkenalkannya secara hibrid sempena Aidilfitri tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Bakri Sawir berkata, mantai hibrid berkenaan akan diadakan pada 30 April ini.

Katanya, selain di Seremban, mantai hibrid juga akan dilaksanakan serentak di semua daerah menggunakan kaedah sama.

"Orang ramai boleh hadir secara fizikal ke lokasi program mantai diadakan atau menempah daging secara dalam talian sebelum dihantar ke rumah masing-masing.

"Kita akan bekerjasama dengan pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) bagi melaksanakan mantai hibrid yang pertama kali diadakan ini," katanya ketika ditemui pada Program MyRakyat Pra Ramadan di perkarangan Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Klawang hari ini.

Bakri berkata jika dipersetujui oleh kerajaan negeri, subsidi sebanyak RM3 bagi setiap pembelian sekilogram (kg) daging dengan maksimum pembelian sebanyak 3 kg akan diberikan kepada orang ramai.

Dalam perkembangan lain, Bakri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klawang berkata, bekalan daging atau ayam bagi keperluan penduduk di negeri ini menjelang Aidilfitri adalah mencukupi.

Sementara itu, pada program berkenaan orang ramai tidak melepaskan peluang biarpun terpaksa beratur sehingga 60 minit bagi membeli daging yang dijual pada harga RM32 setiap kg berbanding harga pasaran RM38.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2022 @ 4:43 PM