Oleh Baharom Bakar


Kuala Terengganu: Kira-kira 8,000 penduduk beberapa daerah di negeri ini dapat menjimatkan perbelanjaan berjumlah kira-kira RM1.2 juta dalam tempoh dua hari Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang berakhir hari ini.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, potongan pelbagai barangan keperluan asas melebihi 30 peratus pada PJKM peringkat daerah Kuala Terengganu bermula semalam dianggarkan mampu menjimatkan sehingga RM150 bagi setiap pengguna.

Kata beliau, sepanjang dua hari PJKM, ia merekodkan kehadiran kira-kira 8,000 pengunjung.

"Gerai yang paling menjadi tumpuan pengunjung adalah gerai menjual ayam segar dan daging lembu.

"Ayam segar dijual pada harga RM6 sekilogram (kg) manakala daging lembu pula dijual pada harga RM25 sekilogram," katanya kepada media selepas hadir ke tapak PJKM di Padang Bola Kampung Durian Burong di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Saharuddin Mohd Kia.

PJKM peringkat daerah Kuala Terengganu dianjurkan bersama Pejabat Parlimen Kuala Terengganu dan KPDNHEP.

Pada PJKM yang berakhir hari ini, 8.5 tan metrik ayam segar dan satu metrik tan daging lembu habis dijual dalam tempoh dua jam.

Selain daging lembu dan ayam, turut dijual pada harga subsidi melebihi 30 peratus adalah minyak masak paket, ikan, buah-buahan, tepung gandum, bawang, sayur-sayuran, beras dan pelbagai rempah ratus.

Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu memperuntukkan RM50,000 untuk menampung kos subsidi ayam dan daging lembu.

"Kita dimaklumkan, PJKM ini mencatatkan jualan melebihi RM2 juta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2022 @ 3:11 PM