Orang ramai mendapatkan barangan dapur pada harga murah di Jualan Bazar Peduli Rakyat anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Klawang
Orang ramai mendapatkan barangan dapur pada harga murah di Jualan Bazar Peduli Rakyat anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Klawang
Abnor Hamizam Abd Manap

SEBANYAK 1.5 tan beras yang ditawarkan pada harga murah berbanding harga pasaran habis dijual dalam tempoh hanya 30 minit.

Ternyata Jualan Bazar Peduli Rakyat anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Klawang diadakan di Perkarangan pusat khidmat masyarakat DUN Klawang, Jelebu, negeri Sembilan, sejak kelmarin, berjaya menarik kira-kira 3,000 pengunjung yang mahu mendapatkan barang makanan dan keperluan pada harga runtuh.

Malah tawaran daging lembu dijual pada harga RM 28 sekilogram, ayam (RM 6 sekilogram) manakala dua papan telor pada harga RM16 turut menyebabkan lokasi itu diserbu orang ramai.

Kadir Jelani, 45, berkata, program jualan itu memberi manfaat kepadanya untuk membeli barang keperluan dapur pada harga lebih murah.

"Saya percaya, jika jualan bazar peduli rakyat ini kerap diadakan, ia akan memberi impak sangat baik kepada rakyat dan tekanan kepada pemborong serta peniaga yang sewenang-wenang menaikkan harga,” katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Bakri Sawir berkata sebanyak 50 peniaga sekitar daerah ini mengambil bahagian pada program ini.

Katanya sebanyak RM35,000 hasil jualan dikutip sepanjang bazar selama empat jam itu.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun merasmikan bazar peduli rakyat yang sudah bermula hujung Januari lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Februari 2020 @ 7:52 PM