Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir ( kiri ) mengacau wajik sebagai gimik pelancaran  program jualan terus dari ladang@MyRakyat di Pusat Khidmat DUN Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sembilan Datuk Bakri Sawir ( kiri ) mengacau wajik sebagai gimik pelancaran program jualan terus dari ladang@MyRakyat di Pusat Khidmat DUN Klawang. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Beratus penduduk kampung 'menyerbu' Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri ( DUN ) Klawang di sini, sebaik mengetahui ikan, ayam, telur dan minyak masak dijual pada harga murah berbanding pasaran.

Program jualan terus dari ladang@MyRakyat sempena Aidiladha itu bertujuan membantu rakyat luar bandar mendapatkan bekalan makanan pada harga murah.

Peniaga ikan Mohd Irwan Mat Jus dari FELDA Titi berkata, dia menjual pelbagai jenis ikan pada harga lebih murah sempena program berkenaan.

Katanya, ikan merah dijual pada harga RM30 sekilogram berbanding harga asal RM42 sekilogram selain ikan tenggiri dijual pada harga RM20 hingga RM25 sekilogram berbanding harga asal RM38.

"Selain itu sotong dijual pada harga RM30 sekilogram berbanding RM38, ikan pari RM20 sekilogram berbanding RM27 dan udang juga dijual lebih murah iaitu RM30 sekilogram berbanding harga pasaran RM38 sekilogram," katanya.

Mohd Irwan berkata dia tidak kisah mengurangkan harga ikan berkenaan kerana turut mahu membantu orang ramai yang terkesan dengan kenaikan harga makanan.

Katanya, jualan murah itu juga adalah hadiah kepada orang ramai yang bakal menyambut Aidiladha.

" Alhamdulillah, orang ramai tidak lepas peluang membeli ikan dijual malah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan ( FAMA ) turut membantu dengan memberi subsidi berjumlah RM500," katanya.

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN ) Klawang , Datuk Bakri Sawir merasmikan program berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Pengarah FAMA Negeri Sembilan, Shahlan Kusaseh dan Timbalan Pengarah Pertanian Negeri Sembilan Umairah Abu Kassim.

Sementara itu Bakri berkata sebanyak 300 ekor ayam daging dijual kepada orang ramai dengan diskaun harga RM2 bagi setiap ekor ayam.

Katanya, sebanyak 200 papan telur ayam gred A dijual pada harga RM 12 sahaja.

"Program diadakan sempena sambutan Aidiladha dan memberi peluang kepada orang ramai membeli barang keperluan pada harga rendah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Julai 2022 @ 4:43 PM