Foto hiasan
Foto hiasan
Noorazura Abdul Rahman

Yan: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Kedah memberi jaminan bekalan barangan keperluan bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini mencukupi.

Pengarah Fama Kedah Isa Hamzah berkata, pihaknya turut menawarkan harga yang berpatutan di 185 outlet FAMA dengan bilangan peniaga seramai 1,024 orang di seluruh negeri.

"Di Kedah kita mempunyai sebanyak empat Pasar Tani Kekal (PTK) dan 15 Pasar Tani, orang ramai boleh mendapatkan bahan mentah seperti ayam, daging, kelapa dan sayur-sayuran segar dengan harga yang tidak melebihi harga siling ditetapkan kerajaan.

"Bagaimanapun, di negeri ini harga ayam kita boleh dapat dengan harga yang lebih murah berbanding harga yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) iaitu RM7.90 sekilogram berikutan Kedah mempunyai sebuah syarikat yang menjadi antara pengeluar ayam terbesar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Jualan Pra Syawal di PTK Guar Chempedak di sini, hari ini.

Hadir bagi merasmikan program berkenaan ialah Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim.

Mengulas lanjut, Isa berkata bagi harga daging tempatan pula dijual mengikut jenis atau bahagian lembu bermula daripada harga RM20 hingga RM58 sekilogram.

Katanya, harga daging tempatan ini ditetapkan oleh Kumpulan Ladang-Ladang Perbadanan Kedah Sdn Bhd dan dipersetujui Fama.

"Harga daging tempatan tidak melebihi RM35 sekilogram. Bagi daging harimau menangis harganya RM58 sekilogram manakala daging batang pinang pula RM42 sekilogram.

"Bagi tulang campuran pula harganya adalah RM32 sekilogram, hati (RM28), limpa dan paru (RM33), perut (RM25(, tetal (RM20) serta ekor pula (RM37) sekilogram.

"Bagi harga tulang kaki pula, ia dijual dengan harga RM45, manakala kepala RM60 satu,"k atanya.

Isa berkata, penetapan harga ini adalah bagi memberi situasi menang-menang antara peniaga dan pengguna yang boleh membuat pilihan dan selera mereka sekiranya berkemampuan untuk membeli bahagian yang lebih mahal.

Beliau turut menasihatkan pengguna agar tidak membuat pembelian di saat terakhir dan melakukan pembelian panik bagi mengelak penularan wabak Covid-19 menjelang Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Mei 2021 @ 12:40 PM