Muhammad Nasrullah (tengah) bersama penuntut Malaysia di Mesir.
Muhammad Nasrullah (tengah) bersama penuntut Malaysia di Mesir.
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Perasaan rindu kepada keluarga yang jauh di tanah air membuak-buak apatah lagi ketika menjalani kehidupan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat susulan dunia dilanda Covid-19.

Itu pengalaman yang dilalui penuntut Malaysia di Mesir yang turut berdepan dengan situasi penularan Covid-19.

Presiden Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia Mesir Muhammad Nasrullah Shahzman berkata, Aidilfitri yang bakal kunjung tiba memberikan pengalaman baru kepada penuntut Malaysia di Mesir kerana tiada sambutan seperti sebelumnya.

Katanya, sepanjang Ramadan setakat ini, banyak aktiviti dilakukan dengan pematuhan SOP yang ketat.

"Antaranya ialah Syantah Ramadan iaitu agihan makanan dan bungkusan makanan untuk iftar bagi mahasiswa Malaysia Mesir, gelandangan dan fakir miskin tempatan.

"Kita juga ada Jaulah Masjid iaitu sepanjang 30 hari solat Tarawih, setiap hari mereka akan ke masjid yang sangat istimewa dari segi sejarahnya dan imam yang sangat menyentuh hati.

"Seperti juga di tanah air, mereka juga menetapkan semua jemaah untuk melakukan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan tempoh waktu solat Tarawih hanya sejam dibenarkan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Menurutnya, walaupun sudah empat tahun berada di bumi anbia itu, perasaan kali ini agak berbeza kerana perlu membiasakan diri dengan norma baharu akibat Covid-19.

Menurutnya, mahasiswa Malaysia masih meneruskan pembelajaran secara bersemuka seperti biasa dengan waktu kuliah yang dipendekkan.

"Bilangan hari sesi pembelajaran juga dikurangkan dari kebiasaan sebelum ini. Namun, terdapat beberapa fakulti yang menggunakan sesi pembelajaran secara atas talian sebagai langkah mencegah wabak.

"Persiapan Aidilfitri di sini mengikut budaya rakyat Mesir iaitu mereka membuat persediaan apabila masuk bulan Ramadan.

"Jadi pada penghujung Ramadan, mereka akan secara beramai-ramai ke masjid yang berdekatan dan ia turut disertai penuntut Malaysia dan negara lain," katanya.

Muhammad Nasrullah berkata, pihak berkuasa Mesir mengeluarkan kenyataan bahawa tidak ada sebarang aktiviti berkumpul semasa Aidilfitri.

"Jadi kami dari Majlis Perundingan Mahasiswa Malaysia Mesir mengambil inisiatif untuk meraikan hari raya dengan menghantar juadah makanan mengikut persatuan anak negeri masing-masing.

"Dengan cara ini, kami dapat menyambut Aidilfitri secara sederhana dan penuh kesyukuran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 1:13 PM