PENUNGGANG motosikal meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca.
PENUNGGANG motosikal meninggal dunia di tempat kejadian. FOTO ihsan pembaca.
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan kereta di Jalan Kampung Sungai Yu, Kota Kuala Muda, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, mangsa berusia 60 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati, kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 34 tahun itu dipercayai dari arah Kota Kuala Muda menuju ke Pulau Sayak.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan motosikal mangsa.

"Kedua-dua kenderaan itu serta penunggang motosikal terjunam ke dalam sawah dan pemandu kereta patah bahu kanan dan menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

"Penunggang motosikal pula parah di bahagian dalaman badan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pemandu kereta itu hanya bekerja kampung serta tidak memiliki lesen memandu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 9:44 PM