Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Gambar hiasan. FOTO Arkib NSTP.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak 19 kluster baharu Covid-19 dilaporkan hari ini di Selangor, Johor, Kelantan, Johor, Sabah, Perak, Melaka, Kuala Lumpur, Kedah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 10 kluster membabitkan tempat kerja termasuk dua restoran; empat kluster komuniti; tiga kluster keagamaan dan tiga kluster pendidikan.

Katanya, dua restoran yang terbabit adalah Kluster Jalan Manjalara Idaman di Kepong, di sini hasil saringan bersasar ke atas pekerja restoran Bandar Manjalara, dengan lapan kes dikesan positif.

"Satu lagi adalah Kluster Jalan Besar Pasir Mas yang dilaporkan di Pasir Mas, Kelantan, hasil saringan individu bergejala membabitkan sebuah restoran di Jalan Besar. Sebanyak 29 kes dikesan positif daripada kluster ini.

"Kluster Persiaran Perpaduan USJ dilaporkan di Petaling, Klang, Kuala Selangor dan Kuala Langat, Selangor, hasil saringan bersasar sebuah pusat pentadbiran awam di USJ 5, dengan 43 kes dikesan positif.

"Manakala Kluster Jalan Nouvelle yang dilaporkan di Hulu Langat dan Petaling, Selangor adalah hasil saringan bersasar ke atas pekerja kilang di Seri Kembangan, dan 21 kes dikesan positif dalam kluster ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Udang Harimau pula mengesan enam kes positif yang membabitkan pekerja kilang di Medan Niaga Kepong, manakala Kluster Blok D Jalan Pending yang dilaporkan di Kuching, Bau, Sibu dan Samarahan, Sarawak selepas 54 kes dikesan positif menerusi saringan ke atas pekerja syarikat perkhidmatan di Jalan Pending.

Katanya, Kluster Jalan Kempas Pagoh mempunyai 77 kes positif hasil saringan bersasar di kilang di Kawasan Perindustrian Pagoh dengan 77 kes dikesan positif.

"Kluster Ladang LSD yang dilaporkan di Kinabatangan dan Sandakan, Sabah, membabitkan pekerja sebuah ladang di Kinabatangan dengan 20 kes dikesan positif, sementara Kluster Jalan Perusahaan Empat yang dilaporkan di Kerian, Larut, Matang dan Selama, Perak membabitkan kilang di Jalan Perusahaan 4.

"Bagi Kluster Jalan Pkak Ayer Keroh yang dilaporkan di Melaka Tengah, Melaka pula membabitkan pusat penginapan di Pusat Komersial Ayer Keroh dengan 10 kes dikesan positif dikesan, manakala Kluster Pulau Ketam di Klang, Petaling dan Sabak Bernam, Selangor yang mempunyai 22 kes positif," katanya.

Beliau menjelaskan kluster lain adalah Kluster Penurin di Betong dan Kuching, Sarawak; Kluster Kampung Kochang yang dilaporkan di Pasir Mas, Kelantan; Kluster Dah Lengkuas di Kota Setar, Kedah; Kluster Jalan Limbang di Miri, Sarawak; Kluster Beldin di Pusa, Sarawak; dan Kluster Dah Utama di Kuala Muda, Kedah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Mei 2021 @ 8:11 PM