DR NOOR HISHAM ABDULLAH
DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti lapan kluster baharu di Selangor, Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak dan Perlis, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama dikenal pasti adalah Kluster Kemuning Enam di Klang, Selangor yang dikesan melalui saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Bukit Kemuning dengan 44 kes dikesan positif.

"Kluster kedua dikenal pasti ialah Kluster Jalan Sungai di Hulu Langat, Selangor, hasil saringan bersasar di sebuah kilang di Jalan Sungai Chua membabitkan enam kes dikesan positif dalam kluster ini.

"Kluster ketiga dikenal pasti adalah Kluster Industri Inanam di Kota Kinabalu, Sabah hasil saringan individu bergejala membabitkan pekerja sebuah kilang di Jalan Tuaran dengan 20 kes dikesan positif," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Jalan Industri Tiga di Pontian, Johor, hasil saringan individu bergejala membabitkan pekerja sebuah kilang di Pekan Nenas dengan 19 kes dikesan positif.

"Kluster kelima yang dikesan adalah Kluster Tapak Bina Jalan Satu di Lembah Pantai, Kuala Lumpur, hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan di Jalan Klang Lama dengan 12 kes dikesan positif.

"Satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Jalan Awang di Sibu, Sarawak, hasil saringan bersasar sebuah pusat tahanan di Jalan Awang Ramli Amit dengan 42 kes dikesan positif," katanya.

Beliau berkata, kluster ketujuh dikenal pasti adalah Kluster DTI Persiaran Wawasan di Kangar, Perlis, hasil saringan sebelum pulang ke negara asal dengan 14 kes dikesan positif dalam kluster berkenaan.

"Kluster terakhir dikenal pasti adalah Kluster Kiba di Sibu, Sarawak, hasil saringan individu bergejala dengan 33 kes dikesan positif," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 1,999 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 727 kluster dilaporkan tamat, setakat hari ini.

"Terdapat 14 kluster dilaporkan tamat, hari ini termasuk Kluster Senai Murni dan Kluster Bukit Palah menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 472 kluster.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 68 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini. Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Perusahaan (55 kes), Kluster Industri Subang (44 kes) dan Kluster Kemuning Enam (44 kes)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 7:01 PM