GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 14 kluster baharu yang dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Sabah, Sarawak, Negeri Sembilan dan Perak, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu pertama yang dikenal pasti ialah Kluster Tapak Bina Jalan Lagoon di Petaling, Selangor yang dikesan melalui saringan bersasar di sebuah tapak binaan dengan 76 kes dikesan positif.

"Kluster kedua adalah Kluster Industri Puchong yang dilaporkan di Petaling, Selangor hasil saringan di sebuah kilang membabitkan 44 kes dikesan positif.

"Kluster ketiga adalah Kluster Sungai Purun yang dilaporkan di Hulu Langat dan Petaling, Selangor membabitkan sebuah pusat jagaan dengan 27 kes dikesan positif," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Kampung Parit Masjid di Muar, Johor hasil saringan bersasar di sebuah kilang dengan 44 kes dikesan positif.

"Kluster kelima yang dikesan adalah Kluster Tapak Bina Jalan Puchong yang dilaporkan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan dengan 332 kes dikesan positif.

"Satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Jalan Empat di Titiwangsa, Kuala Lumpur hasil saringan individu bergejala di sebuah pusat perubatan membabitkan 29 kes positif," katanya.

Beliau berkata, kluster ketujuh dikenal pasti ialah Kluster Jalan Tan di Lembah Pantai, Kuala Lumpur hasil saringan bersasar di sebuah pusat jagaan warga emas dengan 17 kes dikesan positif.

"Kluster kelapan adalah Kluster Ladang Sungai Pin di Kinabatangan, Sabah hasil saringan bersasar di sebuah kilang membabitkan 36 kes positif.

"Satu lagi kluster adalah Kluster Kampung Samin di Sipitang, Kota Belud dan Tuaran, Sabah hasil saringan individu bergejala dengan 33 kes dikesan positif.

"Kluster ke-10 adalah Kluster Padas Damit di Beaufort, Sabah hasil saringan individu bergejala dengan 32 kes dikesan positif.

"Satu lagi kluster dikenal pasti adalah Kluster Persiaran Raya di Manjung, Perak hasil saringan individu bergejala dengan 18 kes dikesan positif," katanya.

Menurutnya, kluster ke-12 ialah Kluster Lapangan Siber di Kinta, Perak hasil saringan individu bergejala dengan 21 kes dikesan positif.

"Kluster ke-13 adalah Kluster Bintang Daily di Meradong, Sarawak hasil saringan individu bergejala dengan lapan kes dikesan positif.

"Kluster terakhir dikenal pasti adalah Kluster Nilam Tiga di Seremban, Negeri Sembilan hasil saringan individu bergejala dengan 63 kes dikesan positif," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 831 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 430 kluster sudah tamat setakat hari ini.

"Lima kluster yang tamat hari ini adalah Kluster Tembok, Kluster GK Tawau, Kluster Sentosa Residensi, Kluster Menara Wang dan Kluster Maringkan menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah 401 kluster," katanya.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 73 kluster melaporkan pertambahan kes, hari ini

Katanya, kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi ialah Kluster Tapak Bina Jalan Puchong (322 kes), Kluster Tapak Bina Jalan Chulan (85 kes) dan Kluster Tembok Taiping (81 kes).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Februari 2021 @ 7:45 PM