Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 12 lagi kluster baharu Covid-19 di Selangor, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Kelantan, Perak, Melaka dan Putrajaya.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu itu adalah Kluster Jalan Telok Gong, Kluster Lingkaran Lintang, Kluster Persiaran Selatan, Kluster Jalan Kluang, Kluster Kampung Perani, Kluster Ladang Baturong, Kluster Ladang Matamba, Kluster Tapak Bina Damai, Kluster Pondok Hidayah, Kluster Kota Road, Kluster Tembok Kemus, Kluster Restoran Putra.

Menurutnya, Kluster Jalan Telok Gong membabitkan daerah Klang di Selangor dikesan selepas kes dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 14 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah kilang dengan 108 kes.

"Kluster Lingkaran Lintang juga membabitkan daerah Klang di Selangor, di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula 3 Januari hasil saringan bersasar di sebuah kilang dengan 25 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Persiaran Selatan pula membabitkan daerah Johor Bahru, Johor dengan kes dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 15 Januari hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan yang terletak di Persiaran Southkey dengan 61 kes dikesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Jalan Kluang membabitkan daerah Batu Pahat, Johor di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-137,341) dilaporkan positif Covid-19 pada 11 Januari hasil saringan individu bergejala dengan 18 kes.

"Kluster Kampung Perani membabitkan daerah Kota Tinggi, Johor apabila kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-110,214) dilaporkan positif Covid-19 pada 30 Disember tahun lalu hasil saringan individu bergejala dengan 18 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Ladang Baturong dikesan di daerah Kunak, Sabah selepas kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-131,469) dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Januari 2021 hasil saringan di tempat kerja dan 54 kes sudah dikesan setakat ini," katanya.

Beliau berkata, Kluster Ladang Matamba pula membabitkan daerah Lahad Datu, Sabah apabila kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 6 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah ladang dengan 20 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Tapak Bina Damai membabitkan daerah Cheras di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selepas kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Januari lalu hasil saringan bersasar di sebuah tapak binaan dengan 130 kes sudah dikesan.

"Kluster Pondok Hidayah membabitkan daerah Machang, Kelantan dengan 15 kes setakat ini selepas kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-138,166) dikesan menerusi kes Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan dilaporkan positif Covid-19 pada 11 Januari lalu," katanya.

Menurutnya, Kluster Kota Road pula membabitkan daerah Kinta dan Larut, Matang dan Selama di Perak apabila kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-133,240) dilaporkan positif Covid-19 pada 9 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dengan 18 kes dikesan setakat ini.

"Kluster Tembok Kemus membabitkan daerah Alor Gajah, Melaka di mana kes bagi kluster ini dilaporkan positif Covid-19 bermula pada 14 Januari hasil saringan tahanan di Penjara Satelit A'Famosa yang terletak di Jalan Kemus Lama, Alor Gajah dengan 22 kes sudah dikesan.

"Kluster Restoran Putra pula membabitkan sebuah restoran yang terletak di Presint 9, Wilayah Persekutuan Putrajaya di mana kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-12,0817) adalah kes SARI yang dilaporkan positif Covid-19 pada 4 Januari 2021 dengan 19 kes dikesan setakat ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 January 2021 @ 7:42 PM