GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 12 kluster baharu hari ini, termasuk tiga kluster institusi pendidikan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kluster itu dilaporkan di Selangor, Kelantan, Johor, Perak, Pahang dan Sarawak.

"Kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Tabuan Jaya di daerah Kuching, Serian dan Samarahan di Sarawak membabitkan pelajar sebuah sekolah dengan kes indeks (kes ke-372,265) dilaporkan pada 17 April. Setakat ini, 22 kes dikesan positif Covid-19.

"Kluster Batu Lada membabitkan daerah Kuala Krai dan Machang di Kelantan pula dalam kalangan kakitangan serta pelajar sebuah sekolah terletak di jalan Batu Lada, Kuala Krai. Setakat ini, 21 kes dikesan positif.

"Satu lagi Kluster Jalan Abdul Rahman Andak di Johor Bahru, Johor yang mana membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah sekolah dengan seramai 12 individu sudah disahkan positif," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, empat kluster komuniti dilaporkan iaitu Kluster Bukit Rotan di Selangor (16 kes), Kluster Sileng Dayak di Sarawak (72 kes), Kluster Kampung Pemanok di Kelantan (27 kes), Kluster Raub Jaya di Pahang (54 kes).

"Terdapat tiga kluster tempat kerja iaitu Kluster RP Tiga yang dikesan hasil saringan bersasar pekerja kilang di Gombak (46 kes) dan Kluster Jalan Tiga Belas - Tiga juga hasil saringan bersasar pekerja kilang di Petaling Jaya (14 kes).

"Manakala satu di Perak iaitu Kluster Jalan Adika Raja hasil saringan individu bergejala membabitkan pelatih sebuah pusat latihan (34 kes)," katanya.

Katanya, dua kluster keagamaan iaitu Kluster Kampung Parit Bunga di Tangkak, Johor (lapan kes) dan Kluster Jalan Pokok Assam di Perak (14 kes).

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 7:19 PM