GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Irwan Shafrizan Ismail


Kuala Lumpur: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) memaklumkan tiada pekerja dari India yang dibawa masuk atau kembali semula ke negara ini selepas bercuti.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya mengambil maklum kegelisahan masyarakat berhubung lonjakan kes Covid-19 di India, namun tidak ada asas untuk mengaitkannya dengan pekerja warga India yang bekerja di restoran mamak di negara ini.

"Dalam tempoh dan keadaan sekarang ini, kami beri jaminan tiada pekerja dari India yang dibawa masuk untuk bekerja di restoran mamak atau pulang semula selepas bercuti.

"Kita juga buat saringan pekerja, ujian swab, akur dengan keputusan dan langkah ditetapkan kerajaan, jadi memang tidak ada isu.

"Mungkin ada kegelisahan dalam kalangan orang ramai bila melihat situasi di India, tapi tidak ada asas kalau nak kata varian di India boleh disebarkan pekerja di restoran mamak di sini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Jawahar berkata, pihaknya juga sering mengingatkan ahli supaya memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi, bukan sahaja bagi pekerja tetapi pelanggan juga.

"Kita jaga SOP cukup ketat malah dalam minggu kebelakangan ini pihak berkuasa juga kerap menjalankan pemantauan dan pemeriksaan di restoran. Komitmen dan kerjasama ahli sudah cukup baik setakat ini," katanya.

Selain itu beliau berkata, pihaknya juga bersyukur masih dibenarkan menjalankan perniagaan dalam keadaan pandemik ini.

"Sekarang bukan zaman untuk mengadu kurang pelanggan atau sebagainya, kita bersyukur boleh lagi menjalankan perniagaan cuma tidak macam dahulu.

"Bila kerajaan benarkan pelanggan makan di kedai, bagi kami itu satu amanah jadi kita tak akan kompromi kalau ada pelanggan yang tidak mahu ikut SOP," katanya.

Ahad lalu media melaporkan Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India, dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1. menerusi kemasukan seorang warga India apabila melakukan saringan di Lapangan Terbang Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus Covid-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di republik berkenaan, sekali gus dikhuatiri menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Mei 2021 @ 2:45 PM