DR Noor Hisham. FOTO Bernama
DR Noor Hisham. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Susulan penemuan 21 kes varian Afrika Selatan B.1.351 dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Januari sehingga Mac 2021, survelan genomik Covid-19 terus dijalankan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlahnya membabitkan lebih banyak sampel dari kebanyakan negeri di seluruh negara.

Beliau berkata, terkini, melalui survelan genomik yang dijalankan ke atas 59 sampel Covid-19 dari 24 April 2021 sehingga 2 Mei 2021, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengenalpasti dan mengesahkan 30 lagi kes varian membimbangkan (VOC) dan satu kes varian mempunyai kepentingan (VOI)

Katanya, ini merangkumi 27 kes baharu tempatan Covid-19 yang dijangkiti varian Afrika Selatan B.1.351, tiga kes baharu tempatan Covid-19 yang dijangkiti varian UK B.1.1.7 dan satu kes import baharu yang dijangkiti varian India, B.1.617.

"Berkenaan pengesanan varian VOI, Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India, dengan mutasi berganda iaitu B.1.617.1.

"Kes ini membabitkan dan mempunyai sejarah perjalanan ke Mumbai, India. Beliau sudah masuk ke Malaysia menggunakan pas pekerjaan pada 10 April 2021 dan dikesan positif Covid-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) pada hari yang sama.

"Kes dikenalpasti dijangkiti varian India B.1.617.1 (P1) hasil analisis jujukan genom penuh (WGS). Pesakit sudah diasingkan dan sedang menerima rawatan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Katanya, berikutan penularan varian B.1.617.1 (P1) semakin membimbangkan, Malaysia mengadakan sekatan kemasukan pengembara bukan warganegara dari India, dan melanjutkan tempoh kuarantin 14 hari kepada pengembara warganegara dari India sejak 28 April.

Mengenai pengesanan varian VOC, pula katanya, setakat hari ini 2 Mei 2021 varian Afrika Selatan, B.1.351 untuk pertama kalinya mula dikesan di Perak dan Kelantan membabitkan dua kluster.

"Selain daripada itu, terdapat tujuh kes lain dikesan di Selangor. Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes tempatan Covid-19 varian Afrika Selatan, B.1.351 adalah sebanyak 48 kes.

"Ringkasan kes kluster yang ada membabitkan varian Afrika Selatan, B.1.351 adalah Kluster Jalan Lima (empat kes), Kluster Jalan Kebun Baru (sembilan kes), Kluster Teknologi Emas (tiga kes), Kluster Jalan Canning Estate (10 kes baharu) dan Kluster Kampung Bunut Sarang Burung (10 kes baharu).

"Sebanyak 11 kes membabitkan Covid-19 varian Afrika Selatan, B.1.351 adalah menerusi saringan kontak rapat dan tujuh daripadanya adalah kes baharu," katanya.

Sementara itu, katanya, terdapat pertambahan tiga kes baharu tempatan Covid-19 dijangkiti varian UK B.1.1.7 yang dikesan di Selangor dan Sabah.

Menurutnya, ia menjadikan jumlah kes yang dijangkiti varian UK B.1.1.7 sehingga kini adalah sebanyak lapan kes.

"Ringkasan kluster kes-kes Covid-19 dengan varian UK B.1.1.7 adalah Kluster Lorong Megah Jaya membabitkan satu kes baharu daripada 27 kes Covid-19 yang dikesan daripada 104 saringan.

"Dua kes baharu turut dikesan daripada saringan kontak rapat. Manakala, lima kes varian UK B.1.1.7 sebelum ini adalah kes import membabitkan negara Emiriah Arab Bersatu (UAE), Poland dan United Kingdom (UK)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pihak IMR serta Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) sentiasa memantau perkembangan mutasi varian SARS-CoV-2 itu dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 8:31 PM