LELAKI menerima suntikan vaksin Covid-19 di kaunter pandu lalu di Kuwait. FOTO EPA
LELAKI menerima suntikan vaksin Covid-19 di kaunter pandu lalu di Kuwait. FOTO EPA
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan varian virus Covid-19 dikenali dengan sebutan daripada abjad Yunani untuk mengelak stigma terhadap negara di mana varian itu dikesan.

Sistem baru itu membabitkan empat varian membimbangkan (VOC) yang dikhuatiri sedang merebak dan varian mempunyai kepentingan (VOI)

"Mereka tidak akan menggantikan nama saintifik yang ada tetapi bertujuan untuk membantu dalam perbincangan awam, "kata Ketua Teknikal WHO Covid-19, Maria Van Kerkhove.

Di bawah sistem baharu, VOC ditemui di Britain, B.1.1.7, menjadi Alpha; B.1.351 pertama kali ditemui di Afrika Selatan menjadi Beta, manakala varian yang terdapat di Brazil, P.1 digelar Gamma.

Varian yang terdapat di India, B.1.617, pula dipecahkan menjadi sub-keturunan dengan varian B.1.617.2 menjadi Delta dan VOI B.1.617.1 digelar Kappa.

Selain nama itu, ada dua panggilan saintifik lain digunakan untuk setiap mutasi, sementara nama geografi yang berbeza digunakan untuk menggambarkan varian yang sama.

Sebagai contoh, di dalam Britain, apa yang digelar negara lain sebagai varian Inggeris sering dipanggil juga sebagai varian Kent iaitu daerah di tenggara England di mana ia pertama kali ditemui.

Nama seperti B.1.1.7.2 masih akan terus digunakan dalam kalangan ahli saintifik untuk maklumat mutasi.

"Walaupun ada kelebihan, nama saintifik itu sukar disebut dan diingati malah cenderung kepada laporan yang salah.

"Akibatnya, orang sering menggunakan varian panggilan di tempat ia dikesan hingga mewujudkan stigma dan diskriminasi.

"Bagi mengelakkannya dan mempermudahkan komunikasi awam, WHO mengesyorkan pihak berkuasa nasional, media dan lain-lain untuk menggunakan label baru itu," kata WHO dalam satu kenyataan.

Awal bulan ini, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menandatangani undang-undang jenayah kebencian yang bertujuan melindungi rakyat Asia-Amerika susulan peningkatan serangan semasa pandemik Covid-19.

Kumpulan anti-ekstremis AS mengatakan jumlah serangan dan jenayah kebencian terhadap Asia-Amerika memuncak sejak awal krisis.

Mereka menyalahkan bekas presiden Donald Trump, yang berulang kali menyebut Covid-19 sebagai virus 'China'.

WHO cuba menggunakan gelaran baharu yang mudah untuk varian itu selama beberapa bulan mengandungi 24 abjad Yunani tetapi belum ada perancangan berikutnya sekiranya ia (varian) berakhir.

Setakat ini, Epsilon, Zeta, Eta, Theta dan Lota dilabel sebagai VOI.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Jun 2021 @ 10:15 AM