INDIVIDU memakai pakaian perlindungan diri ketika upacara pembakaran ahli keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19. FOTO EPA
INDIVIDU memakai pakaian perlindungan diri ketika upacara pembakaran ahli keluarga yang meninggal dunia akibat Covid-19. FOTO EPA
AFP

Geneva: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan varian B.1.617 yang tersebar di India sebagai varian yang membimbangkan (VOC) berikutan kepantasannya menular di seluruh dunia .

Sebelum ini, mutasi berganda itu dikategorikan WHO sebagai satu varian mempunyai kepentingan (VOI).

"Oleh itu, kami mengklasifikasikannya (varian B.1.617) sebagai VOC," kata ketua pasukan WHO Covid Covid-19, Maria Van Kerkove.

Terdahulu, ketua saintis WHO, Soumya Swaminathan memaklumkan varian yang menular di India itu mungkin lebih mudah berjangkit dan kebal daripada vaksin.

Soumya memberi amaran bahawa 'ciri epidemiologi dilihat di India pada masa kini menunjukkan ia adalah varian yang menular dengan pantas.

Varian berkenaan pertama kali dikesan di India, Oktober tahun lalu itu juga dilaporkan menjadi penyumbang jelas kepada lonjakan kes di negara itu.

Dalam pada itu, kes Covid-19 masih terus meningkat di kebanyakan negara dan hampir 3.3 juta kematian direkodkan di seluruh dunia akibat wabak yang tercetus pada akhir 2019.

Program vaksinasi yang pantas menjadikan sejumlah negara kaya mulai mengambil langkah menuju kehidupan normal.

Ireland, pada Isnin, menghentikan sekatan perjalanan domestik dan memulakan pembukaan semula sektor tidak penting secara berperingkat, sementara Greece membuka taman asuhan kanak-kanak, sekolah rendah dan menengah menjelang musim pelancaran mulai 14 Mei.

Sektor pelancongan mungkin mendapat perhatian dari Kesatuan Eropah yang mengatakan bahawa ia berada di landasan sepenuhnya untuk memastikan pas kesihatan Covid-19 siap pada Jun untuk meningkatkan perjalanan.

United Kingdom, yang mempunyai jumlah kematian Covid-19 tertinggi di Eropah pula mengumumkan pembukaan semula tempat duduk tertutup di pub dan restoran di England mulai minggu depan.

"Ia langkah yang sangat penting untuk kembali kepada kehidupan normal," kata Perdana Menteri UK, Boris Johnson.

Kelonggaran sekatan terbaru berlaku ketika England melaporkan tiada kematian virus setiap hari untuk pertama kalinya dalam lebih setahun hasil kempen vaksinasi yang berjaya.

Sekolah dan kedai turut dibuka semula di beberapa bahagian Eropah bermula Isnin lalu.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Mei 2021 @ 12:12 PM