GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan kes pertama kemasukan varian Covid-19 dari India dengan mutasi berganda dikenali sebagai B.1.617.1 yang dikesan dalam saringan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kes itu dikesan menerusi kemasukan seorang rakyat India yang melakukan saringan di KLIA.

Menurutnya, mutasi itu dikenal pasti hasil analisis keseluruhan jujukan genom (WGS) selepas saringan dibuat di pintu masuk utama negara yang mana difahamkan ia menyumbang hampir 60 peratus daripada penularan secara besar-besaran di India ketika ini.

"Varian mutasi berganda, B.1.617.1 mula ditemui di India pada 27 April lalu dan laporan Inisiatif Global mengenai Perkongsian Semua Data Influenza (GISAID) mendapati ia menular di sekurang-kurangnya 17 negara di seluruh dunia, tiga hari kemudian.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan mutasi berganda dari India itu mempunyai kadar pertumbuhan virus Covid-19 yang lebih tinggi, berbanding varian sedia ada di republik berkenaan, sekali gus dikhuatiri menjadi punca utama peningkatan jangkitan secara mendadak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata, 30 lagi varian membimbangkan (VOC) ialah 27 varian Afrika Selatan B.1.351 dan tiga varian United Kingdom, UK B.1.1.7 malah varian mempunyai kepentingan (VOI) iaitu varian dari India, B.1.617 turut dikesan di Malaysia.

"Laporan mengesahkan kes pertama VOC B.1.351 di Perak dan Kelantan membabitkan kewujudan kluster dengan 10 kes positif di setiap negeri terbabit.

"Menerusi aktiviti pengesanan, kita juga merekodkan tambahan tujuh kes varian B.1.351 dan dua varian UK B.1.1.7 di Selangor," katanya.

Beliau berkata, satu kes varian UK B.1.1.7 turut direkodkan di Sandakan, Sabah, membabitkan seorang warga asing, malah ini kes pertama varian dari UK dalam kalangan individu tanpa sejarah perjalanan ke luar negara dan berkemungkinan ia penularan tempatan.

"Setakat ini, 48 kes varian Afrika Selatan, B.1.351 direkodkan, UK B.1.1.7 (lapan kes), India B.1.617 (satu kes) dan varian Nigeria B. 1.525 (dua kes).

Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) turut mengesan satu kes nasabah C (C.36) daripada seorang individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Mesir," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 2:02 PM