AHLI keluarga melihat pembakaran mayat pesakit Covid-19. FOTO EPA
AHLI keluarga melihat pembakaran mayat pesakit Covid-19. FOTO EPA
AFP

Geneva: Varian Covid-19 yang menular di India mungkin lebih mudah berjangkit dan kebal daripada vaksin, menurut ketua saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Menerusi temu bual dengan AFP, Soumya Swaminathan memberi amaran bahawa 'ciri epidemiologi dilihat di India pada masa kini menunjukkan ia adalah varian yang menular dengan pantas'.

India pada Sabtu pertama kali merekodkan lebih 4,000 kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam dan lebih 400,000 kes baharu.

New Delhi kini bergelut untuk mengekang penularan virus itu yang melumpuhkan sistem kesihatannya.

Banyak pakar berpendapat bahawa angka rasmi kes baharu dan kematian adalah jauh lebih tinggi.

Soumya, pakar pediatrik dan saintis klinikal berkata, varian B.1.617, yang pertama kali dikesan di India, Oktober tahun lalu, adalah penyumbang jelas kepada lonjakan kes di negara itu, pada masa kini.

"Ada beberapa pencepat yang menyumbang kepada situasi ini," kata pakar berusia 62 tahun itu, dengan menegaskan bahawa 'antaranya, virus yang lebih cepat menular'.

WHO menyenaraikan varian B.1.617 yang mempunyai beberapa sub-garis keturunan dan mutasi serta ciri yang sedikit berbeza, sebagai varian yang perlu diberi perhatian.

Bagaimanapun, ia tidak diletakkan dalam senarai varian yang perlu dibimbangkan - label yang menunjukkan virus itu lebih bahaya daripada versi asalnya

Beberapa pihak berkuasa kesihatan termasuk di Amerika Syarikat (AS) dan Britain mengkategorikan varian B.1.617 sebagai varian yang perlu dibimbangkan.

Soumya berkata, beliau berpendapat WHO akan mengumumkan perkara sama tidak lama lagi.

"B 1.617 adalah mungkin varian yang perlu dibimbangkan kerana ia mempunyai mutasi yang mempercepat penularan dan mungkin menjadikannya kebal terhadap antibodi dihasilkan vaksin atau jangkitan semula jadi," katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa varian itu sahaja bukan penyebab tunggal lonjakan kes India, tetapi ia disumbangkan antaranya "perhimpunan besar-besaran'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 1:55 PM