ECONSAVE mengedarkan 100,000 peket bubur lambuk di semua cawangan pasar raya itu. FOTO Ihsan Econsave
ECONSAVE mengedarkan 100,000 peket bubur lambuk di semua cawangan pasar raya itu. FOTO Ihsan Econsave
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sudah menjadi tradisi pasar raya Econsave Cash And Carry (Econsave) mengedarkan bubur lambuk percuma dalam kalangan pelanggan pasar raya berkenaan sejak 10 tahun lalu.

Pengurus Besar Econsave Mas Imran Adam berkata, sebanyak 100,000 peket diedarkan di cawangan pasar raya di seluruh negara sempena Ramadan.

Beliau berkata, aktiviti itu diadakan serentak di 87 pasar raya Econsave di seluruh negara termasuk 19 cawangan di Johor.

"Bagi memberkati Ramadan, Econsave dengan kerjasama sukarelawan mengadakan aktiviti memasak bubur lambuk dan mengagihkannya.

"Di cawangan Senai, aktiviti memasak bubur lambuk ini bermula 8 pagi membabitkan 20 kakitangan untuk diagihkan kepada pengunjung dijadualkan pada 3 petang.

"Bagaimanapun agihan dimulakan seawal 2 petang kerana sesetengah pelanggan sudah menunggu untuk membawa pulang paket bubur lambuk.

"Ia sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kami kepada pelanggan dan berharap dapat mengadakannya lagi pada masa hadapan," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Sementara itu, pelanggan Asmah Ghazali, 60, berkata, dia berterima kasih kepada Econsave kerana pemberian secara percuma kepada pengunjung.

"Ia amat bermakna bagi golongan kurang bernasib baik kerana boleh dijadikan juadah iftar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 10:41 PM