Abdul Razak menghulurkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Kampung Bukit Beringin, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Abdul Razak menghulurkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di Kampung Bukit Beringin, Masjid Tanah. FOTO HASSAN OMAR
Hassan Omar


Masjid Tanah: Demi arwah isterinya, Abdul Razak Che Ngah, 68, sanggup menyediakan 500 mangkuk bubur lambuk untuk disedekahkan kepada orang ramai setiap Sabtu dan Ahad di bulan Ramadan ini.

Dia sanggup membelanjakan ribuan ribu ringgit dengan membuat sendiri bubur lambuk itu untuk disedekah kepada komuniti di Kampung Bukit Beringin, dekat sini.

Menurutnya, pada jam 5 petang setiap Sabtu dan Ahad, sejak permulaan Ramadan 3 April lalu, Abdul Razak bersama keluarga menghulurkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya di pekan itu.

"Alhamdulillah, pada setiap pagi Sabtu dan Ahad saya dan keluarga bergotong-royong memasak bubur lambuk di kediaman mentua di Kampung Bukit Beringin.

"Sebanyak 500 mangkuk bubur lambuk kami sedekahkan pada setiap petang Sabtu dan Ahad," katanya ketika ditemui mengedarkan bubur lambuk di kampung itu, semalam.

Abdul Razak yang juga bekas Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tinggi Melaka (SMKTM) berkata isterinya, Allahyarhamah Besah Wahab meninggal dunia dua tahun lalu akibat penyakit barah perut.

"Setiap hujung minggu sejak dua tahun lalu, saya akan berulang alik kira-kira 68 kilometer ke Tanah Perkuburan Kampung Lekok, di sini untuk menziarahi pusara arwah isteri.

"Pemberian bubur lambuk ini adalah cara saya bersedekah dan memohon kesejahteraan roh arwah isteri dan ahli keluarga lain yang terlebih dahulu meninggalkan kami.

Katanya, setiap kali menghulurkan bubur lambuk kepada pengguna jalan raya, beliau tidak lupa meminta mereka mendoakan kesejahteraan kesihatannya.

Sementara itu, cucunya, Muhammad Umair Haziq Muhammad Fairuz, 14, yang tinggal di Kajang dan akan pulang ke kampung setiap hujung minggu berkata dia dan tiga adik-beradiknya gembira berpeluang membantu datuknya mengedarkan bubur lambuk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2022 @ 2:20 PM