Orang ramai beratur mengambil bubur lambuk pada tinjauan bubur lambuk Masjid Kampung Baru. FOTO ASWADI ALIAS.
Orang ramai beratur mengambil bubur lambuk pada tinjauan bubur lambuk Masjid Kampung Baru. FOTO ASWADI ALIAS.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Walaupun banyak lokasi dan masjid sekitar ibu kota memasak serta menawarkan bubur lambuk percuma, namun bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru di sini, tetap menjadi `buruan' orang ramai.

Tinjauan Harian Metro semalam mendapati, sebaik selesai solat Asar, orang ramai berpusu-pusu beratur panjang bagi mendapatkan bubur lambuk yang diagihkan secara percuma.

Dianggarkan sebanyak 3,500 bungkusan bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai setiap hari di Masjid Jamek Kampung Baru bermula 1 Ramadan lalu.

Kakitangan bank, Ahmad Dayarabi Ramli, 60, berkata, bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru mempunyai keistimewaan tersendiri dari segi rasa dan aromanya.

"Kalau anda makan sekali, pasti akan jatuh cinta," katanya secara berseloroh kepada Harian Metro.

Orang ramai beratur mengambil bubur lambuk pada tinjauan bubur lambuk Masjid Kampung Baru. FOTO ASWADI ALIAS.
Orang ramai beratur mengambil bubur lambuk pada tinjauan bubur lambuk Masjid Kampung Baru. FOTO ASWADI ALIAS.

Ahmad Dayarabi yang tinggal di Kampung Datuk Keramat berkata, setiap hujung minggu dia akan menunaikan solat Asar di sini dan kemudian akan mendapatkan bubur lambuk.

"Kebiasaannya saya akan memakan bubur lambuk terlebih dahulu ketika berbuka puasa," katanya.

Pembantu perpustakaan, Baharudin Jalil, 54, berkata, keistimewaan bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru adalah rasanya yang tidak berubah sejak beberapa dekad lalu termasuk penggunaan rempah ratusnya.

"Walaupun tukang masaknya silih berganti namun rasanya masih asli, sedap dan disukai ramai.

"Saya juga makan bubur lambuk ini hampir setiap hari pada bulan Ramadan dan tak pernah rasa muak," katanya.

Bagi pekerja swasta, Anis Umairah Hassan, 26, pula, dia tidak pernah merasa bubur lambuk di sini dan ia merupakan kali pertama dia datang mengambilnya.

"Ini pertama kali saya ambil dan nak rasa. Saya dan rakan pergi ke bazar Ramadan sebelum singgah ke Masjid Jamek Kampung Baru untuk mengambilnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2023 @ 9:38 AM