Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Sebanyak 14 kluster baharu direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 395 kluster.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster baharu direkodkan masing-masing tiga di Sarawak dan Melaka, Selangor, Sabah dan Johor (dua) serta masing-masing satu di Perak dan Terengganu.

Menurutnya, kluster baharu membabitkan masing-masing empat di tempat kerja dan komuniti manakala tiga di pusat pendidikan, dua keagamaan serta satu di pendidikan tinggi.

"Kluster dalam komuniti adalah Kluster Sungai Nirai, Sarawak; Kluster Umas, Sabah; Kluster Seri Jati, Melaka dan Kluster Jalan Sepat di Perak.

"Kluster tempat kerja pula adalah Kluster Jalan Garuda di Johor, Kluster Jalan Sungai Sembilang, Selangor; Kluster Jalan Kilang Dua, Sabah; dan Kluster Durin di Sarawak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kluster keagamaan membabitkan Kluster Sebatu dan Kluster Air Budi yang kedua-duanya dilaporkan di Jasin serta Alor Gajah, Melaka.

Katanya, kluster pendidikan pula adalah Kluster Lestari Perdana Tujuh di Selangor, Kluster Saujana, Terengganu; manakala satu kluster pendidikan tinggi iaitu Kluster Persiaran Sinaran Ilmu di Johor.

Tambah beliau, satu lagi kluster pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dikenali Kluster Long Jegan yang dilaporkan di Sarawak.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 8:20 PM