MBAPPE meraikan kejayaan PSG merangkul gelaran liga. FOTO Reuters
MBAPPE meraikan kejayaan PSG merangkul gelaran liga. FOTO Reuters
AFP

Paris: Kylian Mbappe menjaringkan gol pada penampilan terakhirnya di laman sendiri sebagai pemain Paris Saint Germain (PSG) tetapi juara Perancis itu mengalami kekalahan mengejut 1-3 menentang Toulouse pada malam mereka menjulang trofi kejuaraan Ligue 1.

Mbappe mengesahkan dalam video yang disiarkan di media sosial pada bahawa dia akan meninggalkan PSG apabila kontraknya tamat pada penghujung musim, menamatkan hubungan selama tujuh tahun dengan kelab itu.

Real Madrid dijangka menjadi destinasi seterusnya bagi pemain yang pemergiannya dari Paris tidak lagi menjadi rahsia sejak Februari lalu, apabila dia secara peribadi memaklumkan kepada kelab mengenai hasratnya untuk berpindah.

Mbappe memakai lilitan kapten dan membuka jaringan awal menentang Toulouse untuk menjadikan jumlah golnya musim ini kepada 44 gol dalam semua pertandingan.

Bagaimanapun, Thijs Dallinga pantas menyamakan kedudukan untuk pasukan pelawat yang berdepan dengan pasukan 'kedua' PSG.

PSG melakukan 10 pertukaran berbanding kesebelasan utama yang tersingkir dari Liga Juara-Juara Eropah di tangan Borussia Dortmund pada separuh akhir pertengahan minggu lalu, dengan Mbappe satu-satunya pemain dikekalkan.

Yann Gboho meletakkan Toulouse di hadapan dengan jaringan cemerlang pada separuh masa kedua, dan Frank Magri melengkapkan kemenangan pada masa kecederaan ketika PSG hanya mengalami kekalahan kedua Ligue 1 musim ini, dan yang pertama dalam 27 perlawanan sejak September.

Mbappe kini sudah menjaringkan 256 gol untuk PSG bagi mencipta rekod kelab, sejak menandatangani kontrak dari Monaco pada 2017 dalam perjanjian bernilai €180 juta (RM920 juta).

Jumlah 191 golnya dalam liga utama Perancis - termasuk 16 dengan Monaco pada awal kariernya - meletakkannya di tempat ketujuh dalam senarai sepanjang zaman.

Jurulatih Luis Enrique menyifatkan pemain berusia 25 tahun itu sebagai 'legenda kelab' apabila bercakap kepada media pada malam sebelum perlawanan.

PSG menyatakan bahawa perayaan selepas perlawanan itu akan ditujukan untuk kemenangan gelaran mereka, bukannya sebarang penghormatan khusus kepada Mbappe.

Malah terdapat beberapa ejekan daripada peminat kepada penyerang itu apabila pasukan diumumkan sebelum perlawanan.

Bagaimanapun, terdapat layar gergasi dinaikkan sebelum sepak mula di salah satu sudut hujung stadium yang menggambarkan Mbappe melipat masuk tangannya ke dada seperti dilakukannya ketika meraikan jaringan.

"Saya mendengar tepukan, penyokong memberinya penghormatan yang sewajarnya, dia adalah legenda kelab walaupun masih muda," kata Luis Enrique.

Kelab milik Qatar itu menamatkan rekod gelaran Perancis ke-12, dan ke-10 dalam tempoh 12 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2024 @ 10:48 AM