Dr Noor Hisham.
Dr Noor Hisham.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenalpasti 39 kluster baharu hari ini, dengan 18 daripadanya membabitkan kluster di tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 15 daripada kluster baharu itu membabitkan kluster komuniti dan masing-masing dua pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi, satu kluster keagamaan serta pendidikan tinggi.

"Kluster tempat kerja yang dikenal pasti ialah Tapak Bina Jalan Aman Serenia, Jalan Kelicap 42B, Industri Lorong Tandang, Tapak Bina Jalan Teknokrat, Tapak Bina Jalan Kuchai Maju, Jalan Rusa 2, Tapak Bina Jalan U-Thant 2, Bukit Bakri Muar, Industri Keluli 11 dan Industri MIEL Gebeng.

"Turut dikenalpasti adalah Industri Gebeng 2/1, Jalan Ding Lik Kwong Dua, Jalan Buan, Bukit Tengah 2, Dah Dua Industri Sungai Petani, Persiaran S2, Jalan Pasar Bukit Mertajam 2 dan Seksyen 20 Jalan Darul Naim.

"Kesemua kluster berkenaan dilaporkan di Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Sarawak, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Kelantan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, lima daripada keseluruhan kluster komuniti dilaporkan di Kelantan iaitu Kampung Pasir Kota, Kampung Gok Kapor, Kampung Chenderong Batu Timur, Kampung Tok Pah dan Jalan Kuala Besar.

Menurutnya, lima lagi kluster di Pahang iaitu Ketapang Hilir Pekan, Rantau Seroja, Kampung Tersusun, Jalan Feri Lama dan Gajah Mati Jerantut manakala dua kluster di Sarawak membabitkan Taman Malihah serta Kampung Pulo Ulu.

Katanya, masing-masing satu kluster di Terengganu (Pengadang Baru), Selangor (Desa Enam Belas) dan Kedah (Dah Kampung Sawa).

"Kluster pusat tahanan pula membabitkan Pagar Bagan Serai di Perak dan Tembok Penor di Pahang manakala kluster kumpulan berisiko tinggi adalah Jalan Stutong Baru serta Persiaran Lemak.

"Bagi kluster keagamaan yang dikenalpasti di Kedah ialah Dah Kampung Derang dan kluster pendidikan tinggi dikenalpasti di Kelantan iaitu Jalan Kampung Demit," katanya.

Katanya, kluster baharu yang dikenalpasti itu menjadikan keseluruhan 3,938 kluster dengan 1,213 kluster aktif dan 2,725 kluster sudah tamat.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 8:45 PM