GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Dua lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan bersetuju menerima suapan berjumlah RM30,000, kononnya sebagai dorongan untuk menutup kes rasuah yang masih dalam siasatan, empat tahun lalu.

Peniaga ikan, Mohd Faizal Ahmad Mazlan ,42, dan peniaga ayam perap, Abas Yaacob, 46, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Rozina Ayob.

Mereka didakwa secara rasuah setuju menerima suapan wang tunai RM30,000 daripada seorang lelaki melalui Azhar Ariffin sebagai satu dorongan kononnya untuk menutup kes rasuah terhadap lelaki itu yang masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran, Jalan Pudu Hulu di sini, pada 9.32 malam, 3 Februari 2017.

Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan kedua-dua lelaki itu diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sehingga kes selesai dan menetapkan 27 Mei untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Nor Diana Nor Azwa, manakala peguam Normah Desa mewakili Mohd Faizal dan Abas diwakili peguam Evawani Farisyta Mohammad.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 3:24 PM