Mohd Ali Hanafiah bersyukur memenangi motosikal Honda RS150 pada cabutan bertuah. Foto HASSAN OMAR
Mohd Ali Hanafiah bersyukur memenangi motosikal Honda RS150 pada cabutan bertuah. Foto HASSAN OMAR
Hassan Omar

Masjid Tanah: Dua tahun lalu, Mohd Ali Hanafiah Jamaat, 60, kehilangan motosikal Yamaha LC akibat dicuri.

Namun siapa menyangka Tuhan mengembalikan semula motosikal itu melalui hadiah cabutan bertuah dimenanginya pada perlawanan bola sepak antara Melaka United FC (MUFC) menentang Selangor FC di Stadium Hang Jebat pada 18 April lalu.

Hadiah berkenaan ditaja pemilik MUFC, KenTeam Sdn Bhd melalui kempen Jom Tengok Bola dan disampaikan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali selepas perlawanan diadakan.

Mohd Ali membawa pulang kenderaan itu ke kediamannya di Kampung Telok Fong, Kuala Sungai Baru, di sini, semalam, selepas urusan pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan perlindungan insurans dilakukan.

"Dua tahun lalu saya menjadi penyelia syarikat keselamatan di Kuala Lumpur dan tinggal di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Motosikal itu saya baharu dibeli untuk memudahkan saya berulang alik ke tempat kerja.

"Pada jam 2 pagi, dua pengawal keselamatan yang bekerja di syarikat sama mahu meminjam motosikal saya dengan alasan untuk keluar makan. Bagaimanapun kedua-dua mereka hilang bersama motosikal itu," katanya.

Dia bagaimanapun bersyukur apabila Tuhan menggantikan semula motosikal yang hilang itu selepas dia diumumkan sebagai pemenang cabutan bertuah.

"Pada petang 18 April lalu, saya mengikut anak saya, Mohd Azudin, 32, ke stadium untuk menonton perlawanan bola dengan menggunakan tiket yang dibelinya secara dalam talian.

"Sebelum keluar rumah, isteri, Normah Ahmad, 60, sempat berseloroh meminta saya membawa topi keledar kerana mungkin akan memenangi cabutan bertuah.

"Alhamdulillah, gurauan isteri menjadi kenyataan dan saya bagaikan tidak percaya apabila nombor tiket saya diumumkan sebagai pemenang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 6:56 PM