HATMAN membantu Norliana memasak ikan patin.
HATMAN membantu Norliana memasak ikan patin.
NORLIANA menyusun produk sejuk beku.
NORLIANA menyusun produk sejuk beku.
HATMAN dan Norliana menunjukkan empat jenis produk makanan sejuk beku keluaran mereka.
HATMAN dan Norliana menunjukkan empat jenis produk makanan sejuk beku keluaran mereka.
Ainal Marhaton Abd Ghani


Bermula dengan tempahan daripada rakan sepejabat tiga tahun lalu, kini ikan patin masak tempoyak sejuk bekunya mula dipasarkan di beberapa pasar raya mini di Pahang, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.

Semuanya bermula pada Jun 2013 apabila Norliana Mohd Rosly, 36, kerap membawa sajian itu sebagai hidangan tengah hari kerana kesibukan tugasnya di pejabat.

“Rakan suka dengan aroma tempoyak itu dan mencadangkan supaya menjualnya kepada mereka dalam bentuk siap dimasak.

“Daripada situ, timbul idea membuat ikan patin masak tempoyak sejuk beku walaupun saya tiada pengalaman,” katanya ketika ditemui di kilangnya di Taman Berjaya Permai, Kuantan, baru-baru ini.

Apabila sambutan makin meningkat selepas dipromosi di Facebook oleh sepupunya yang turut bertanggungjawab dari segi penghantaran, Norliana nekad berhenti kerja untuk memulakan bisnes itu sepenuh masa.

“Ketika itu, penghantaran terus hanya di sekitar Lembah Klang dan mendapat sambutan di luar jangkaan. Saya teruja kerana pertama kali perkenalkan, sambutan luar biasa walaupun pengeluarannya terhad.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan suami (Hatman Zulkarnain, 36,) kami sepakat berhenti kerja dan memberi tumpuan kepada bisnes makanan sejuk beku,” katanya.

Norliana yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Komputer daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) adalah bekas kakitangan PROTON Holdings Berhad, Shah Alam.

Hatman yang memiliki Diploma Sains Komputer daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga sanggup melepaskan kerjayanya dalam industri minyak dan gas di Kemaman, Terengganu untuk fokus kepada perniagaan itu.

Ternyata pilihan mereka tepat dan dengan usaha bersungguh-sungguh termasuk melakukan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah seliaan Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI), produk jenama Eatime itu makin dikenali dalam kalangan penggemar ikan sungai itu.

Norliana berkata, hampir RM45,000 diperuntukkan sebagai modal permulaan termasuk mengubah suai bangunan dan membeli peti sejuk beku serta peralatan memasak sebelum memulakan operasi sepenuhnya di kilang bermula Oktober 2015.

Menurutnya, selepas berpindah ke Kuantan pada awal 2014, mereka terpilih menyertai program Groom Big Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi membolehkan mereka mendapatkan geran bantuan pembungkusan produk selain khidmat nasihat dan teknikal.

“Produk sejuk beku yang berbeza dengan pengusaha lain memberi kelebihan kepada kami,” katanya yang memulakan bisnes di rumah sebelum berpindah ke kilang.

Menurut Norliana, dia memperuntukkan 350 ikan patin sangkar di Sungai Pahang daripada pembekal di Pekan untuk menyediakan 1,000 bekas patin sejuk beku setiap bulan untuk menampung permintaan.

“Selepas dimasak, ikan ditimbang terlebih dahulu dengan anggaran berat antara 250 hingga 300 gram sebelum diisi kuahnya.

“Setiap bekas mengandungi dua ketul ikan dan dijual pada harga RM18 seberat 600 gram,” katanya yang turut menyertai pameran tahunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (SMIDEX), baru-baru ini.

Selain patin tempoyak sejuk beku, pasangan itu turut mengeluarkan masakan sejuk beku daging salai masak lemak cili padi Negeri Sembilan yang dijual pada harga RM20 sebekas, ikan pari asam pedas Johor (RM18) dan ayam goreng berempah Kelantan yang menggunakan 13 jenis rempah ratus (RM12).

Sebanyak 1,000 bekas disiapkan setiap bulan bagi setiap produk yang diedarkan di 40 kedai terpilih yang ada ketikanya habis terjual dalam waktu singkat.

“Semua sajian sejuk beku ini siap dimasak. Ia hanya perlu dipanaskan menggunakan ketuhar gelombang mikro dalam tempoh lima hingga 10 minit,” katanya.

Produk Eatime memiliki sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2016 @ 10:51 AM